Pada 15 Jun, pengurus aset yang terbesar di dunia, BlackRock mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat untuk melancarkan spot Bitcoin ETF (Dana Dagangan Bursa).
ETF yang dipanggil iShares Bitcoin Trust ini bersandarkan Bitcoin dan wang fiat (wang yang dikeluarkan oleh kerajaan).
Coinbase Custody Trust Company akan menjadi pihak yang diamanahkan untuk memegang dana dalam Bitcoin. Manakala Bank of New York Mellon memegang dana dalam wang fiat.
Spot Bitcoin ETF ialah produk pelaburan yang amat menarik untuk pelabur yang ingin melabur dalam Bitcoin tanpa perlu memegang mata wang kripto itu secara langsung. Yang menjadikan ETF BlackRock ini lebih menarik lagi, jika mahu, pelabur boleh menebus Bitcoin yang dimiliki mereka.
Walaupun suruhanjaya sekuriti negara itu belum pernah meluluskan sebarang permohonan spot Bitcoin ETF, inisiatif BlackRock ini amat dialu-alukan oleh komuniti kripto. Jika diluluskan, ETF ini akan menjadi spot Bitcoin ETF yang pertama di Amerika Syarikat. Yang paling penting, dengan adanya ETF ini, akan menjadi lebih mudah untuk orang ramai membuat pelaburan dalam Bitcoin.