“Halving” yang berlaku pada tahun 2016 dan 2020 diikuti dengan kenaikan harga Bitcoin, menurut pemerhatian JPMorgan. Oleh itu, bank itu percaya kemungkinan besar permintaan daripada pelabur runcit untuk Bitcoin dijangka tinggi menjelang Bitcoin “halving” yang akan berlaku pada April 2024.
Selain itu, kos pengeluaran Bitcoin yang seringkali dikaitkan dengan “harga minimum” mata wang kripto itu turut dijangka akan naik ke kira-kira $40,000.
Nilai Bitcoin adalah sekitar USD 26,444 (RM 122,136) pada hari ini (8 Jun 2023).
Apakah “halving”?
Secara ringkasnya, blok rantai ialah rantaian transaksi mata wang kripto yang disimpan dalam struktur data yang dipanggil blok.
Setiap komputer yang mengambil bahagian dalam rangkaian akan menyimpan satu salinan blok rantai yang dikemas kini dari semasa ke semasa.
Semua transaksi baru akan ditambahkan ke dalam blok rantai melalui blok yang baru dicipta.
Proses pembentukan blok baru ini dikenali sebagai perlombongan. Perlombongan, dalam konteks Bitcoin, juga ialah proses yang mencipta atau memasukkan Bitcoin baru ke dalam peredaran.
Pelombong yang berjaya melombong blok baru berhak untuk menerima Bitcoin sebagai ganjaran. Setiap empat tahun, ganjaran ini akan dikurangkan separuh. Peristiwa ini dipanggil “halving.”