CEO Binance, Changpeng Zhao. Sumber: Binance.com
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), yang diketuai oleh Gary Gensler, telah menyaman Binance dan CEO Changpeng Zhao (CZ), seorang warganegara Kanada, atas tiga belas tuduhan, termasuk mencampurkan dana pelanggan, membeli, menjual dan berdagang sekuriti yang tidak berdaftar.
Menurut dokumen yang difailkan oleh suruhanjaya itu, tindakan tertuduh yang secara terang-terangan mengabaikan undang-undang sekuriti negara itu ialah punca kes ini.
Tindakan tertuduh itu membolehkannya menjadi sangat kaya, tetapi dalam masa yang sama, ia juga mendedahkan aset pelabur kepada risiko yang tinggi.
Tambahan pula, mereka gagal menghalang pelabur negara itu daripada membeli, menjual dan berdagang sekuriti kripto melalui platform perdagangan yang tidak berdaftar.
Menurut penjelasan yang diberikan oleh Binance kepada CryptoSlate, BNB ialah token yang diperkenalkan oleh Binance untuk membenarkan komuniti BNB berinteraksi dengan projek yang dibina berasaskan blok rantai BNB. Tambahan pula, BNB bukan satu bentuk kontrak pelaburan. Oleh itu, ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai sekuriti.
BUSD ialah sejenis mata wang kripto yang dikenali sebagai mata wang stabil (stablecoin). Nilai mata wang stabil biasanya ditetapkan berdasarkan nilai aset yang lain. Dalam kes BUSD, nilainya berdasarkan nilai dolar AS, iaitu 1 BUSD = 1 USD.
Walaupun SEC berpendapat BUSD ialah sejenis aset sekuriti, Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) negara itu jelasnya mempunyai pandangan yang berbeza. Dari perspektif CFTC, BUSD ialah sejenis komoditi, bukan sekuriti. Walau apa pun, kedua-dua pihak itu berpendapat bahawa Binance sememangnya telah melanggar undang-undang negara itu.
Selain BNB dan BUSD, SEC juga menamakan sepuluh lagi mata wang kripto sebagai aset sekuriti, iaitu SOL, ADA, MATIC, FIL, ATOM, SAND, MANA, ALGO, AXS dan COTI.
Semasa ditemu bual oleh CNBC, pengerusi SEC, Gary Gensler, menyatakan bahawa,
“Kami tidak lagi memerlukan mata wang digital. Sudah ada mata wang digital seperti dolar AS, Euro dan Yen. Setiap wang ini disimpan dalam bentuk digital.”
Namun, pengerusi suruhanjaya itu enggan menerima hakikat bahawa salah satu faktor yang menyumbang kepada populariti mata wang kripto adalah kerana rakyatnya telah kehilangan kepercayaan terhadap sistem ekonomi moden negara tersebut.
Seperti yang dijangkakan, Binance menolak dakwaan SEC dan menggambarkan dokumen SEC itu sebagai satu senarai teori konspirasi.
Berikut ialah dua teori konspirasi yang dipercayai oleh komuniti kripto mengenai kes ini.
Teori Konspirasi 1
Ini hanyalah satu lagi usaha agensi penguatkuasaan untuk menghalang perkembangan mata wang kripto. Tujuan utama usaha ini adalah untuk menghapuskan sebarang halangan yang mungkin menyukarkan bank pusat untuk melancarkan mata wang digitalnya nanti, iaitu mata wang digital bank pusat (Central Bank Digital Currency, CBDC). Komuniti kripto memanggil usaha ini Operasi Cekik 2.0 atau Chokepoint 2.0.
Teori Konspirasi 2
Pengerusi SEC Gary Gensler pernah menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai penasihat Binance pada 2019, menurut peguam Binance. Adakah ini mungkin satu balas dendam peribadi mengandaikan tawarannya pada masa itu ditolak?