Kisah Mt.Gox: Kegagalan pertukaran Bitcoin yang menggemparkan dunia kripto. Satu pengajaran yang mustahil dilupakan.

Mt.Gox (“Gunung Gox”), platform pertukaran Bitcoin yang pada satu ketika dianggap sebagai platform terbesar dan paling berpengaruh di dunia kripto, telah menyaksikan kejatuhan yang mengguncangkan pasaran mata wang digital. Dalam artikel ini, akan kita jelajahi sejarah Mt.Gox, faktor yang menyumbang kepada kegagalan platform itu, dan impaknya terhadap industri kripto secara keseluruhan.

Platform yang berpangkalan di Tokyo ini beroperasi antara tahun 2010 dan 2014. Pada kemuncaknya, ia mengendalikan lebih daripada 70% transaksi bitcoin di dunia tetapi malangnya terpaksa mengisytiharkan muflis pada 2014 kerana digodam. Pengguna Mt.Gox juga termasuk penduduk dari Amerika Syarikat (AS).

Menurut dokumen ini yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (Daerah Selatan New York), dua warga Rusia, iaitu Aleksandr Verner dan Alexey Bilyuchenko ialah dalang di belakang kes itu.

Dokumen itu mendakwa bahawa kedua-dua lelaki itu dan kospirator mereka telah mencuri sekurang-kurangnya kira-kira 64,700 bitcoin daripada platform itu dalam tempoh antara September 2011 hingga sekurang-kurangnya Mei 2014. (Nota editorial: bernilai sekitar $400 juta pada masa itu). Jika sabit kesalahan, mereka akan menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun masing-masing.

Ke mana perginya bitcoin yang dicuri?

Sebahagian bitcoin yang dicuri telah dihantar ke BTC-e. Pada masa itu, BTC-e ialah salah satu pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia dan popular di kalangan penjenayah siber di seluruh dunia yang menggunakan platform itu untuk memindah, mengubah dan menyimpan hasil yang diperoleh daripada aktiviti haram mereka. Menurut dokumen mahkamah, individu yang bernama Alexander Vinnik, juga seorang warganegara Rusia, ialah antara individu yang mengarahkan dan menyelia operasi dan kewangan BTC-e.

Menurut kenyataan akhbar Jabatan Kehakiman negara itu, Bilyuchenko turut didakwa secara berasingan di Daerah Utara California (North District of Californa) kerana dituduh bersubahat dengan Alexander Vinnik untuk mengendalikan pertukaran mata wang kripto haram BTC-e dari 2011 hingga 2017.

Garis masa

2011-2014: Mt. Gox digodam.

2014: Mt. Gox mengisytiharkan muflis.

2015: Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mt. Gox Mark Karpeles telah ditangkap dan didakwa di Jepun atas tuduhan penyelewengan dan pecah amanah.

2017: Alexander Vinnik didakwa mengarahkan dan menyelia operasi dan kewangan BTC-e, sebuah pertukaran mata wang kripto yang haram. Dalam tahun yang sama, BTC-e ditutup oleh FBI.

2019: Mahkamah Daerah Tokyo mendapati bekas CEO Mt. Gox, Karpeles, tidak bersalah atas semua pertuduhan kecuali disabitkan bersalah atas tuduhan pemalsuan dokumen untuk meningkatkan pegangan syarikat itu secara palsu sebanyak $33.5 juta. Dalam tahun yang sama, Aleksandr Verner dan Alexey Bilyuchenko didakwa di AS atas tuduhan konspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram.

2022: Alexey Bilyuchenko didakwa bersubahat dengan Alexander Vinnik untuk mengendalikan pertukaran mata wang kripto haram BTC-e.

Kejatuhan Mt.Gox menjadi antara peristiwa yang paling penting dalam sejarah awal industri kripto. Ia mengejutkan dan mengguncangkan keyakinan komuniti kripto secara keseluruhan. Kejadian ini menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan aset pelanggan yang disimpan di pertukaran mata wang digital dan keperluan untuk memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dalam industri ini.

Selepas kegagalan Mt.Gox, usaha telah diambil untuk memulihkan kerugian pelanggan dan mencegah berlakunya kejadian yang serupa pada masa hadapan. Pengawalseliaan pertukaran mata wang digital telah diperketat, dan keselamatan sistem platform pertukaran menjadi tumpuan utama semua orang. Tambahan pula, turut dapat diperhatikan bahawa platform pertukaran yang dilancarkan selepas kejadian Mt. Gox berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan jaminan dan kepercayaan kepada pengguna melalui pendekatan yang lebih telus dan selamat.

Kisah Mt.Gox mengingatkan kita bahawa pasaran mata wang kripto masih berkembang dan berisiko tinggi. Meskipun kegagalan platform pertukaran itu meninggalkan kesan yang amat negatif terhadap komuniti kripto, dalam masa yang sama, ia juga telah membawa perubahan yang positif kepada ekosistem kripto global.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?