Tindakan keras USA, peluang keemasan untuk UAE. Masa untuk perniagaan dalam industri mata wang kripto “berhijrah” ke negara yang mesra kripto? #Binance US #Coinbase

Menurut Arabian Business, pakar industri kripto berpendapat bahawa berikutan tindakan keras Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) terhadap Binance dan Coinbase di negara itu, banyak “pelarian peraturan kripto” di seluruh dunia bersedia untuk berpindah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Saya rasa UAE mempunyai peluang besar sekarang” kata CEO and pengasas bersama Chainalsysis Inc kepada Arabian Business. Mengikutnya, ini adalah kerana negara teluk itu mempunyai pengawal selia yang diperkenalkan khusus untuk industri aset maya, iaitu Virtual Assets Regulatory Authority (VARA) atau Pihak Berkuasa Kawal Selia Aset Maya. Penubuhan badan kawal selia tersebut mewujudkan ketelusan dan membawa harapan kepada industri kripto.

Dalam laman web mereka, VASA berhujah bahawa mereka ialah pengawal selia bebas yang pertama di dunia untuk aset maya.

Michael Gronager, CEO dan pengasas bersama Chainalysis Inc.

Gronager, yang telah mengambil bahagian dalam industri mata wang kripto sejak 2011, menyatakan bahawa sebahagian daripada sebab mengapa peraturan tentang kripto di Amerika Syarikat masih kekal tidak jelas sehingga hari ini adalah kerana Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi, iaitu Commodity Futures Trading Commission (CFTC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) masing-masing mahu menjadi pihak yang memiliki hak atas industri kripto. Untuk CFTC, mata wang kripto ialah komoditi. Manakala untuk SEC, mata wang kripto ialah sekuriti.

Binance disaman

Pada 5 Jun, SEC memfailkan tiga belas pertuduhan sivil terhadap Binance Holdings Ltd., BAM Trading Services Inc. (Binance.US) dan pengasasnya, Changpeng Zhao.

Aduan SEC yang setebal 136 muka surat itu mendakwa Binance mengelirukan pengawal selia dan pelabur. Tambahan pula, platform antarabangsanya Binance.com secara haram membenarkan pengguna AS berdagang melalui platform itu.

Bekas Ketua Pegawai Pematuhan Binance, Samuel Lim (2018): “We are operating as a fking unlicensed securities exchange in the USA bro“.

Untuk menyokong tuntutan mereka, SEC berkongsi satu mesej yang dihantar oleh bekas ketua pegawai pematuhan Binance, Samuel Lim, kepada rakan sekerjanya yang mengatakan, “kami beroperasi sebagai pertukaran sekuriti tidak berlesen di Amerika Syarikat bro“. Mesej itu dipaparkan melalui Twitter dan kenyataan akhbar SEC.

Coinbase turut disaman

Pada hari yang berikut selepas Binance disaman, Coinbase turut disaman oleh agensi itu. Coinbase dituduh mengendalikan platform dagangan aset kriptonya sebagai bursa sekuriti nasional, broker dan “agensi perantaraan” yang tidak berdaftar. Selain itu, mereka juga gagal mendaftarkan tawaran dan penjualan program “staking-as-a-service” mereka.

“Staking” merujuk kepada proses yang “mengikat” mata wang kripto anda sebagai “cagaran” dengan tujuan untuk mengambil bahagian dalam pengesahan transaksi yang berlaku dalam blok rantai. Sebagai ganjaran, anda akan terima faedah dalam mata wang kripto yang sama. Walaupun fungsinya berbeza, idea ganjaran ini adalah hampir sama dengan idea deposit tetap.

“Staking” ialah satu ciri yang khusus untuk blok rantai yang menggunakan mekanisme persetujuan (permuafakatan) (consensus mechanism) jenis “Proof-of-stake” atau “bukti berkepentingan”.

Dalam kes Coinbase, SEC mendakwa perkhidmatan “staking” yang ditawarkan oleh Coinbase adalah haram. Tetapi adakah perkhidmatan “staking” sesungguhnya dikawal oleh Akta Sekuriti negara itu? Jelas sekali, Coinbase tidak bersetuju.

Artikel berikut daripada Coinbase berhujah bahawa “staking” gagal memenuhi kesemua empat elemen ujian Howey. Ujian Howey yang diperkenalkan pada tahun 1946 ialah ujian rasmi yang digunakan di Amerika Syarikat untuk menentukan sama ada sesuatu transaksi ialah kontrak pelaburan. Jika ya, maka transaksi itu akan diklasifikasikan sebagai sekuriti di bawah undang-undang persekutuan negara itu.

Jadi, adakah pendekatan SEC terhadap industri mata wang kripto di AS akan memanfaatkan negara-negara yang mesra kripto, seperti UAE? Biarlah masa yang menentukan segalanya nanti.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?