Bersempena dengan hari jadi ke-8 Ethereum, ketua pegawai eksekutif Binance – ChangPeng Zhao (CZ) berkongsi foto yang diambil bersama dengan pengasas Ethereum, Vitalik Buterin. Foto itu dikongsi melalui akaun Twitter CZ.
Berdasarkan pemahaman kami mengenai kandungan Tweet CZ itu, foto tersebut diambil pada 2 Mei 2015 di Tokyo, Jepun. Vitalik dikatakan tinggal di pangsapuri CZ sepanjang tempoh lawatannya di Jepun. CZ teringat pada masa itu, Vitalik begitu teruja dengan Ethereum sehingga dia tidak berhenti-henti bercerita tentang ETH. ETH atau Ether ialah mata wang kripto asli untuk blok rantai Ethereum. Beberapa bulan kemudian pada 30 Julai, blok rantai Ethereum dilancarkan secara rasmi. Kini, Ethereum ialah aset digital yang kedua terbesar dari segi modal pasaran.

Foto Vitalik Buterin di muka hadapan edisi Mac 2022 majalah Time’s.
CZ menyesal kerana tidak membeli ETH ketika itu. Namun demikian, berguraunya, andaikan dia telah membeli ETH pada masa itu, dia mungkin tidak lagi bermotivasi untuk mengasaskan Binance. Hal ini adalah kerana ETH hanya bernilai $0.31 (RM 1.4) semasa ia baru dilancarkan pada tahun 2015 dan mencecah $4891.7 (RM 22 289) pada tahun 2021. Sesungguhnya, peluang keemasan yang terlepas untuk kita semua.
Buat masa sekarang, Binance masih belum memiliki lesen untuk beroperasi di negara kita. Lebih teruk lagi, ia telah ditegur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun 2021 kerana beroperasi secara haram. Artikel kami ini mempunyai butiran yang lebih lanjut tentang peristiwa ini. Namun demikian, Binance menyumbangkan modal kepada MX Global Sdn Bhd, sebuah bursa mata wang kripto yang berdaftar dengan SC. Dari sudut pandangan ini, Binance turut memainkan peranannya dalam pembangunan pasaran mata wang kripto di tanah air kita.
Cukup menarik juga, menurut CZ, dia sedang menganggur semasa foto itu diambil. Dalam foto itu, dia dilihat memakai sehelai seluar pendek dan sepasang selipar hijau. Nasib baik keadaan itu tidak berpanjangan. Pada Julai 2017, usahawan muda itu berjaya mengasaskan platform pertukaran mata wang yang kemudiannya menjadi terkenal di dunia: Binance.

Sumber foto: Binance.com
CZ tidak kedekut untuk memberikan nasihat kepada pengikutnya dalam Tweet yang sama.
Nasihatnya yang pertama:
Life gives you not too many, but multiple chances.
Dalam erti kata lain, walaupun hidup kita tidak menawarkan peluang yang tidak terhingga, ia masih memberikan kita cukup banyak peluang untuk pertumbuhan dan berjaya.
Nasihatnya yang kedua:
Work hard, don’t miss the 2nd chances.
CZ mengingatkan kita bahawa untuk mencapai matlamat hidup kita, haruslah kita mengamalkan nilai dedikasi, ketekunan, dan keazaman. Selalunya, kejayaan ialah hasil daripada kerja keras kita yang konsisten dan juga komitmen untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran diri.
Di samping itu, sememangnya benar kita mungkin menghadapi kegagalan atau terlepas peluang. Namun begitu, janganlah kita putus asa. Sebaliknya, sediakan diri untuk menerima peluang-peluang yang akan datang nanti. Belajar daripada kesilapan atau peluang yang terlepas dan berusaha untuk menambahbaik.