Sudah tentu anda pernah mendengar tentang Bitcoin, tetapi bagaimana pula dengan Ethereum? Anda akan terkial-kial menjadi sebahagian daripada komuniti mata wang kripto jika anda tidak mengetahui teknologi yang berjaya mempelbagaikan dunia mata wang kripto ini.
Ethereum ialah sebuah protokol yang diasaskan pada 2015 oleh Vitalik Buterin, seorang pengaturcara komputer warganegara Rusia dan Kanada. Walaupun beliau ialah pengasas yang terkenal, namun projek itu sebenarnya ialah hasil kerjasama sekumpulan orang yang termasuk Dr.Gavin Wood dan Charles Hoskinson. Kedua-dua selebriti kripto ini kemudiannya mengasaskan blok rantai yang tidak kurang menarik berbanding dengan Ethereum, iaitu Polkadot (oleh Dr. Gavin Wood) dan Cardano (oleh Charles Hoskinson).
Projek Ethereum dibiayai melalui penjualan ETH (Ether) pada tahun 2014. ETH ialah mata wang kripto asli untuk blok rantai Ethereum. Jangan anda keliru. ETH dan Ethereum merujuk kepada benda yang tidak sama. Ethereum merujuk kepada blok rantai (blockchain) Ethereum, manakala ETH ialah wang yang digunakan untuk membuat pembayaran dalam blok rantai Ethereum.
Jika idea ini masih mengelirukan, anda boleh membayangkan Ethereum sebagai sebuah negara seperti negara kita, Malaysia. Bank Negara Malaysia bertanggungjawab untuk mengeluarkan mata wang sah untuk digunakan dalam kegiatan harian rakyat, iaitu Ringgit. ETH ialah versi ‘Ringgit’ dalam konteks ini. Anda menggunakan ETH untuk membayar yuran untuk melakukan transaksi mata wang kripto melalui blok rantai Ethereum. Ethereum juga menyerupai sebuah lebuh raya. Untuk menggunakan lebuh raya ini, anda harus membayar tol lebuh raya (ETH).
Dari segi peranan, Ethereum = Kerajaan Malaysia manakala ETH = Ringgit
Dari segi fungsi, Ethereum = Lebuh raya manakala ETH = Tol
Jualan ETH itu berlangsung selama 42 hari dan harga asalnya ditetapkan pada USD 0.31, iaitu kira-kira RM 1 mengikut kadar penukaran pada masa itu. Jualan ini mungkin ialah Tawaran Syiling Permulaan (Initial Coin Offering) yang paling berjaya dalam sejarah mata wang kripto setakat ini.
Tahukah anda nilai ETH mencecah RM 22,431.99 (USD 4,891.70) pada tahun 2021?
Sekarang, mari kita terokai apa yang ditawarkan oleh Ethereum kepada komuniti mata wang kripto.
Kontrak Pintar (Smart Contracts)
Kontrak pintar ialah antara ciri yang paling penting untuk protokol Ethereum.
Anda memberikan arahan kepada bank anda, contohnya CIMB untuk menolak duit daripada akaun anda pada 30 hb setiap bulan untuk membayar bil Unifi anda melalui JomPay. Dengan ini dan pada setiap 30 hb, bil Unifi anda akan dijelaskan secara automatik. Konsep yang sama ini digunakan dalam kontrak pintar. Ia digunakan untuk mengautomasikan urus niaga mengikut syarat yang telah dipratentukan. Kontrak akan dilaksanakan sebaik sahaja syarat dipenuhi. Kontrak pintar atau kontrak bijak boleh digambarkan sebagai sebuah perisian atau program yang boleh bertindak secara automatik mengikut syarat yang dipratentukan terlebih dahulu.
Kontrak pintar digunakan secara meluas dalam kewangan desentralisasi (Decentralized Finance, DeFi), terutamanya untuk melaksanakan pertukaran mata wang kripto tanpa melibatkan pihak perantaraan. Sebagai contoh, kontrak pintar menggunakan formula matematik untuk mengira nilai token atau mata wang kripto tertentu relatif kepada aset yang lain. Cara ini membolehkan nilai aset yang berkenaan diselaraskan secara automatik berdasarkan jumlah aset dalam “kumpulan kecairan” (liquidity pool). Artikel berikut tentang eksploitasi Curve Finance mempuyai penjelasan tentang kumpulan kecairan.
Kewangan Desentralisasi/Ternyahpusat (Decentralized Finance, DeFi)
Kewangan desentralisasi (DeFi) berfungsi lebih kurang sama dengan bank dan bursa, kecuali dalam kes ini, duit yang dikendalikan adalah dalam bentuk mata wang kripto dan bukannya Ringgit.
Pengguna DeFi bukan sahaja boleh membeli, menjual atau menukar mata wang kripto, malahan mereka turut boleh menggunakan DeFi untuk meminjam aset daripada pihak ketiga (borrow), meminjamkan aset mereka kepada pihak ketiga (lend), dan menjana pendapatan pasif.
Bursa Desentralisasi (Decentralized Exchange, DEX)
DeFi yang menawarkan perkhidmatan pertukaran dikenali sebagai bursa desentralisasi (decentralized exchange, DEX).
Dengan menggunakan kreativiti anda, DEX boleh dibayangkan sebagai laut China Selatan dan pengguna DEX merupakan nelayan yang menangkap ikan di laut itu. Di dalam laut, terdapat pelbagai jenis ikan (mata wang kripto). Ada ikan yang enak dimakan, ada ikan yang boleh dijual dengan harga yang tinggi, ada juga ikan yang beracun seperti ikan buntal (puffer fish). Lebih teruk lagi, ada ikan jerung yang sedang menunggu peluangnya dengan sabar. Hanya nelayan yang cukup berpengalaman dan berhati-hati dapat mengelak daripada menjadi mangsa ikan jerung dan ikan buntal dan pulang ke rumah dengan hasil tangkapan yang lumayan.
Anda boleh melayari pautan ini untuk mengakses senarai bursa desentralisasi (DEX) yang paling popular sekarang. Harus anda ingati bahawa buat masa ini, tiada DEX yang telah diberikan lesen untuk beroperasi di negara kita.
Pinjaman dan Pendapatan
Untuk membeli rumah pertama anda, anda terpaksa memohon pinjaman daripada Maybank. Anda berjanji untuk membayar balik duit yang dipinjam dan juga faedah pinjaman kepada bank. Sebelum pinjaman dijelaskan, rumah itu terletak di bawah jagaan bank. Dalam erti kata yang lain, rumah itu ialah cagaran untuk pinjaman anda. Sekiranya anda gagal menunaikan kewajipan anda, bank berhak mengambil milik rumah anda.
Biasanya, bank tidak meluluskan pinjaman yang bernilai sama dengan atau lebih daripada harga penjualan rumah itu. Contohnya, rumah yang anda beli itu berharga RM 1 000,000. Bank hanya bersetuju untuk meminjam 80% daripada harga penjualan rumah itu. Dalam kes ini, bank hanya bersedia untuk meminjam RM 800,000 kepada anda. Tujuannya adalah untuk memastikan nilai cagaran adalah sentiasa lebih daripada nilai pinjaman. Strategi ini dipanggil overcollaterization.
Konsep yang sama terpakai untuk DeFi. Anda boleh meminjam mata wang kripto A dengan menawarkan mata wang kripto B anda sebagai cagaran. Sebagai contoh, anda memerlukan ETH (Ether) untuk berdagang. Masalahnya, anda tidak mempunyai tunai yang ekstra untuk membeli ETH. Berita baiknya, anda mempuyai BTC (Bitcoin). Anda sangat pasti harga BTC akan naik pada masa hadapan. Oleh itu, anda tidak mahu menjual BTC anda sekarang untuk memperoleh ETH. Dalam kes ini, anda boleh mencagarkan BTC anda untuk meminjam ETH. Strategi overcollaterization yang diterangkan di atas turut terpakai. Risikonya, jika harga BTC turun ke tahap yang “berbahaya”, BTC yang anda cagarkan akan ditunaikan (liquidated) oleh kontrak pintar sebagai renti rugi.
Anda juga boleh meminjamkan aset anda kepada orang lain dan menerima faedah daripada pinjaman tersebut. DeFi juga menawarkan perkhidmatan yang mirip deposit tetap. Anda boleh mengikat/mengunci (lock) aset anda dalam kontrak pintar untuk tujuan yang ditentukan oleh kontrak pintar tersebut. Sebagai ganjaran, anda akan menerima faedah daripada deposit (simpanan) anda itu.
Aplikasi Desentralisasi/Ternyahpusat (Decentralized Applications, DApp)
Kertas putih (whitepaper) Ethereum menerangkan bahawa matlamat utama Ethereum adalah untuk mencipta protokol alternatif yang boleh digunakan untuk membina aplikasi yang ternyahpusat (aplikasi desentralisasi). Semenjak itu, istilah DApp (atau dApp, Dapp, dapp) telah muncul sebagai akronim kepada aplikasi yang inovatif ini.
DApp menyerupai mana-mana aplikasi yang boleh anda dapati melalui kedai-kedai aplikasi dalam talian seperti Google PlayStore atau Apple Store. Kedai-kedai aplikasi ini masing-masing diuruskan dan dikawal oleh entiti tunggal, iaitu Google dan Apple. Dalam konteks mata wang kripto, mereka ini dikatakan beroperasi secara terpusat atau dalam bentuk sentralisasi (centralization). Sama ada anda sedar atau tidak, data peribadi anda seperti emel peribadi, alamat IP, nama penuh, alamat kediaman dan sebagainya akan dikumpul dan dikendalikan oleh Google atau Apple untuk membenarkan anda menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka.
DApp menawarkan alternatif kepada sesiapa yang berasa lebih selesa jika data peribadi mereka tidak perlu dikongsi oleh mana-mana pihak. Identiti sebenar mereka dirahsiakan (anonymous) daripada semua pihak kecuali mereka sendiri. Anda hanya memerlukan sebuah dompet kripto yang berada di bawah kawalan anda untuk menggunakan DApp. Melainkan anda memberitahu pihak ketiga bahawa anda ialah pemilik dompet kripto tersebut, identiti anda kekal identiti samaran (pseudonymous).
DApp banyak digunakan untuk DeFi dan ia biasanya dipersembahkan sebagai laman web seperti yang ditunjukkan melalui tangkapan skrin ini.
Jelas sekali, kepentingan Ethereum dalam dunia kripto tidak boleh dipertikaikan. Kontrak pintar dan DApp membuka peluang yang tidak terhingga untuk komuniti global, khususnya mereka yang bersedia untuk menerima teknologi yang bakal mengubah landskap ekonomi yang sedia ada ini.
Sumber foto: Ethereum.org.