Coinbase, sebuah bursa kripto dagangan awam yang berpangkalan di Amerika Syarikat kini memiliki blok rantainya sendiri: BASE.
Mengikut artikel Coinbase ini, blok rantai proprietari itu dibina berasaskan blok rantai Ethereum. Pendek kata, BASE boleh dikatakan menumpang teknologi di sebalik Ethereum. Jangan salah faham. Strategi ini bukan strategi yang memalukan. Pada hakikatnya, oleh sebab Ethereum ialah sebuah protokol sumber terbuka (open source), sesiapa sahaja yang berminat untuk menggunakan protokol itu adalah digalakkan untuk berbuat demikian. Dengan pelancaran blok rantai BASE, Coinbase dengan rasminya turut mengambil bahagian dalam ekosistem Ethereum secara langsung.
Untuk mereka yang baru menyertai komuniti mata wang kripto, blok rantai (blockchain) boleh digambarkan sebagai sebuah buku lejar dalam talian yang digunakan untuk merekod transaksi mata wang kripto. Blok rantai BASE dikategorikan sebagai sebuah rangkaian lapisan dua (Layer 2, L2) Ethereum.
Jadi, apakah lapisan dua, L2?
Sebelum kita mencuba untuk memahami L2, adalah penting untuk kita memahami L1 terlebih dahulu.
L1 atau Layer 1 (lapisan 1) merujuk kepada blok rantai yang asas (base blockchain), iaitu blok rantai yang berfungsi sebagai pangkalan data yang muktamad.
L2 atau Layer 2 (lapisan 2) ialah blok rantai yang boleh disifatkan sebagai pangkalan data transit yang menggunakan teknologi yang sama dengan L1 supaya kedua-dua lapisan itu dapat berkomunikasi dengan satu sama lain tanpa batasan.
Sekarang, mari kita kaji hubungan antara L1 dan L2 dari dua sudut.
Sudut pertama, dari segi aliran data transaksi. Anda membeli tiket penerbangan untuk melancong ke Norway. Mengikut jadual penerbangan, anda akan bersinggah (transit) di Amsterdam sebelum meneruskan perjalanan anda ke destinasi akhir, Norway. Dalam contoh ini, anda melambangkan data transaksi. Amsterdam ialah L2, manakala Norway ialah L1.
Sudut kedua, dari segi perekodan data. Anda membayar tiket penerbangan anda ke Norway itu dengan menggunakan kad kredit Visa anda. Visa mempercayai bahawa anda mempunyai simpanan yang cukup untuk menyelesaikan bil tersebut nanti. Transaksi itu akan direkodkan ke dalam buku lejar Visa sebagai transaksi yang sah. Selepas itu, anda selaku seorang pengguna yang bertanggungjawab, menunaikan kewajipan anda dengan menjelaskan bil kad kredit itu melalui akaun simpanan RHB anda. Duit anda akan ditolak daripada akaun simpanan anda dan transaksi ini seterusnya direkodkan ke dalam buku lejar RHB. Dengan ini, rekod transaksi pembelian tiket ke Norway menjadi muktamad. Dalam contoh ini, buku lejar Visa berfungsi sebagai L2 dan buku lejar RHB pula sebagai L1.
Maklumlah kedua-dua contoh yang diberikan di atas sudah tentu mempunyai kekurangan masing-masing.
Seperkara lagi, buku lejar Visa dan buku lejar RHB bank adalah berasingan. Dengan konsep yang sama, walaupun BASE dibina berasaskan Ethereum, kedua-dua blok rantai itu adalah berasingan.
Projek-projek L2 Ethereum amat dialu-alukan oleh ahli komuniti kripto. Walaupun L1 Ethereum merupakan protokol pilihan untuk kebanyakkan orang oleh sebab ciri-ciri keselamatan yang ditawarkannya, namum demikian, kos untuk melaksanankan transaksi melalui L1 adalah sangat mahal. Dilema ini dapat diatasi dengan L2.
Apa yang dilakukan oleh L2 ialah, transaksi-transaksi yang dilaksanakan melalui L2 akan dikumpulkan terlebih dahulu dan kemudianya dipindahkan ke L1 dalam satu transaksi tunggal. Dengan ini, kos transaksi (L2 ke L1) akan dikongsi antara individu yang melalukan transaksi. Pendekatan ini dapat mengurangkan kos transaksi dengan banyak sekali.
Coinbase berhasrat untuk mengembangkan BASE sebagai jambatan (bridge) yang menghubungkan L1 Ethereum dan protokol L1 dan L2 yang lain. Keupayaan ini turut dikenali sebagai keupayaan saling kendali (interoperability).
Apakah jambatan (bridge)?
Pernakah anda memindah nombor telefon anda dari satu syarikat telekomunikasi ke syarikat telekomunikasi yang lain, contohnya dari Maxis ke Digi? Operasi ini dipanggil port-masuk dan port-keluar (port-in, port-out). Anda masih memegang nombor yang sama walaupun sekarang anda bukan lagi pelanggan Maxis tetapi Digi. Sekiranya anda memutuskan untuk kembali menjadi pelanggan Maxis suatu hari nanti, anda boleh mengulangi proses yang sama. Kemudahan yang membolehkan anda memarkir nombor telefon anda dengan mana-mana syarikat telco boleh disifatkan sebagai jambatan (bridge).
Dalam ruang mata wang kripto, bridge merujuk kepada kemudahan yang membenarkan anda memindahkan mata wang kripto anda dari satu blok rantai ke blok rantai yang lain. Sebagai contoh, ETH anda dalam blok rantai Ethereum boleh dipindah ke blok rantai BASE dengan menggunakan kemudahan bridge yang disediakan oleh BASE. Cumanya, dalam proses pemindahan ini, ETH anda akan ditukar menjadi sebuah aset yang unik kepada blok rantai BASE dengan nama cbETH. Anda boleh menggunakan bridge yang sama untuk menukar cbETH anda ke ETH pada bila-bila masa.
Akhir sekali, kebanyakkan blok rantai mengeluaran token atau mata wang kripto asli untuk digunakan sebagai “duit” dan untuk mempromosikan ekosistem blok rantai tersebut. Sebagai contoh, ETH untuk blok rantai Ethereum dan BTC untuk blok rantai Bitcoin. Coinbase mengesahkan bahawa blok rantai BASE tidak akan mempunyai token aslinya sendiri.