Elon Musk, CEO Tesla dan juga bos platform sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) mengesahkan rangkaian sosial itu tidak akan mengeluarkan token kripto.
Pengesahan itu dibuat berikutan mesej yang dikongsi oleh pempengaruh media sosial @cb_doge pada 5 Ogos yang lalu sebagai amaran kepada komuniti X tentang token X dan token Twitter yang bukan dikeluarkan oleh konglomerat media sosial yang terkenal itu.
Mesej yang dikongsi oleh DogeDesigner itu mengandungi tangkapan skrin yang menunjukkan pengguna @CaptainAltcoin dan @cryptonews menerbitkan informasi yang amat mengelirukan dan sesungguhnya berbahaya untuk pelabur mata wang kripto. Informasi yang sama turut diterbitkan melalui laman web yang dimiliki oleh kedua-dua pengguna itu masing-masing, iaitu captainaltcoin.com dan cryptonews.com.

Khususnya, post @CaptainAltcoin itu mengatakan
Bukan $DOGE tetapi token #X: Token $X Elon Musk disahkan dalam versi terkini Twitter Dev

Untuk mereka yang baru menyertai komuniti mata wang kripto, soalan yang mungkin timbul dalam minda anda ialah apakah $DOGE dan kaitannya dengan Elon Musk?
$DOGE atau Dogecoin ialah mata wang kripto jenis meme (memecoin) yang diperkenalkan pada tahun 2013.
Memecoin ialah sejenis mata wang kripto yang berasaskan meme iaitu imej atau video yang menjadi popular di kalangan pengguna internet sama ada kerana ia lucu, berkait rapat dengan kehidupan harian mereka atau untuk tujuan mengejek fenomena sosial tertentu. Mata wang kripto berasaskan meme biasanya tidak mempunyai nilai yang sebenar dan nilainya selalu dipengaruhi oleh sokongan selebriti dan keghairahan media sosial.
Elon Musk terkenal sebagai seorang penyokong Dogecoin di kalangan komuniti kripto. Sekali-sekala, beliau akan Tweet mesej yang membayangkan sokongannya terhadap memecoin itu. Sebagai contoh, pada 15 April 2021, beliau berkongsi mesejnya “Doge Barking at the Moon” melalui akaun Twitternya (kini dengan nama baru “X”).
Istilah to the moon (menuju ke bulan) ialah istilah yang digunakan oleh komuniti mata wang kripto untuk maksud “harga melambung ke setinggi bulan”.
Selepas Tweet Elon Musk itu, harga Dogecoin naik lebih daripada 100% ke harga yang paling tinggi sekali dalam sejarah harga aset digital itu. Kenaikan harga ini berkemungkinan besar didorong oleh Tweet Elon Musk tersebut.

Beberapa bulan kemudian, pada 14 Disember tahun yang sama, CEO itu Tweet lagi sebuah mesej yang mengesahkan pelan Tesla untuk membolehkan pembelian barang dagangan mereka dengan menggunakan Dogecoin. Bos pengeluar kereta elektrik yang terbesar di dunia itu jelasnya tidak bersedia untuk mengecewakan komuniti kripto kesayangannya.