Home Berita Majulah Singapura! Kami sudah bersedia untuk mata wang kripto stabil. Ayuh, jiranku! #Malaysia

Majulah Singapura! Kami sudah bersedia untuk mata wang kripto stabil. Ayuh, jiranku! #Malaysia

by Editor Kripto Harian
Published Last updated on 344 views 6 minutes
A+A-
Reset

Seperti biasa, Singapura sekali lagi menunjukkan betapa toleran negara itu terhadap inovasi. Kali ini, stablecoin atau mata wang kripto stabil menjadi benefisiari utama dasar kewangan negara yang bersebelahan dengan Johor Bahru itu.

Pengawal selia kewangan Singapura memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa ia telah memuktamadkan rangka kerja kawal selia untuk jenis mata wang digital yang dikategorikan sebagai stablecoin.

Stablecoin ialah sejenis mata wang digital yang dikeluarkan untuk mirip nilai mata wang fiat atau aset digital yang lain. Setakat hari ini, dua daripada sepuluh aset kripto yang mempunyai permodalan pasaran (market capitalization) yang terbesar merupakan stablecoin, iaitu Tether USDt (USDT) dan USD Coin (USDC).

Pada prinsipnya, nilai aset ini sepatutnya stabil dan sama dengan nilai aset rujukan. Dengan mengambil USDT sebagai contoh, nilai stablecoin ini ditetapkan mengikut nilai dolar AS. Pendek kata, 1 USDT = 1 USD. Dalam situasi sebenar, bagaimanapun, nilai stablecoin mungkin menyimpang dari nilai aset rujukan dan menjadi tidak stabil bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan pasaran, kaedah yang digunakan untuk mirip nilai aset rujukan, dan juga tahap keyakinan pelabur terhadap stablecoin tersebut.

Penguasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore, MAS) mendefinisikan stablecoin sebagai sejenis token pembayaran digital (digital payment tokens, DPT).

Pada 26 Oktober 2022, pihak berkuasa negara itu telah mengeluarkan kertas perundingan (consultation paper) mengenai pendekatan pengawalseliaan untuk aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran dan pengantaraan stablecoin di negara itu, menekankan keperluan utama yang akan dikenakan ke atas aktiviti tersebut. Responden kepada kertas perundingan itu termasuk Binance, Ripple Labs Inc, HSBC, OCBC, UOB, Mastercard, Visa, dan juga Circle Internet Financial LLC, iaitu syarikat di sebalik stablecoin USDC.

Berikut merupakan ringkasan yang telah kami sediakan mengenai idea utama yang dipersembahkan dalam rangka kerja tersebut.

  • Skop: Rangka kerja itu hanya memberi tumpuan kepada stablecoin yang dikeluarkan di Singapura dengan nilai stablecoin itu ditetapkan mengikut tidak melebihi satu mata wang G10 atau mata wang negara itu sendiri, dolar Singapura (SGD). Mata wang G10 merujuk kepada 10 mata wang yang paling popular dan terdiri daripada USD, EUR, GBP, JPY, AUD, NZD, CAD, CHF, NOK, SEK. Dalam rangka kerja itu, jenis stablecoin ini dinamakan single-currency pegged stablecoin (SCS) atau “stablecoin yang ditetapkan kepada satu mata wang”. Namun begitu, jenis stablecoin yang lain tidak akan dilarang daripada dikeluarkan, digunakan atau diedarkan di Singapura dan tetap dikawal di bawah rejim token pembayaran digital (digital payment token).
  • Pengiktirafan dan pelabelan: Stablecoin yang memenuhi semua keperluan, sama ada dikeluarkan oleh bank atau bukan bank, akan dilabel sebagai “stablecoin terkawal MAS” (MAS-regulated stablecoin) tanpa label berasingan.
  • Pindaan: MAS akan menambah satu lagi perkhidmatan baru ke dalam Akta Perkhidmatan Pembayaran 2019 (Payment Services Act 2019) negara itu. Perkhidmatan yang baru ini ialah Perkhidmatan Pengeluaran Stablecoin (Stablecoin Issuance Service). Perkhidmatan ini merangkumi aktiviti yang terlibat dalam pengeluaran stablecoin, termasuk jagaan (custody) stablecoin dan pengurusan aset rizab.
  • Pengecualian: Bagi pengeluar stablecoin yang bukan bank, jika jumlah nilai pasaran stablecoinnya tidak melebihi 5 juta dolar Singapura, maka ia tidak perlu mendapatkan lesen Institusi Pembayaran Utama (Major Payment Institution, MPI) dan tidak akan diperlukan untuk mematuhi keperluan rangka kerja ini. Sehubungan ini, stablecoin mereka sewajarnya tidak akan diiktiraf oleh MAS. Sekiranya mereka berhasrat atau berasa jumlah nilai pasaran stablecoin mereka dijangka mungkin akan melebihi 5 juta dolar Singapura pada suatu hari nanti dan mahu stablecoin mereka diiktiraf oleh MAS, maka mereka boleh memohon lesen tersebut daripada MAS untuk menjadi pengeluar stablecoin di negara pulau itu.
  • Liabiliti bank yang “ditokenkan” (tokenised bank liabilities) dikecualikan daripada skop rangka kerja ini. Walau bagaimanapun, MAS mungkin mengenakan keperluan tambahan pada masa hadapan terhadap jenis aset ini. Tambahan pula, MAS mengekalkan fleksibiliti untuk mempertimbangkan token tertentu sebagai stablecoin di bawah rangka kerja ini.
  • Aset rizab: Pengeluar stablecoin dikehendaki untuk mengekalkan risiko yang sangat rendah untuk portfolio aset rizab. Mereka juga harus mengekalkan polisi pengurusan risiko yang teguh dan berdaya tahan untuk aset rizab, meliputi aspek seperti risiko kredit, kecairan dan pemusatan. Jika perlu, mereka harus menunjukkan kepada MAS bagaimana mereka meninjau dan menentukan penampan (buffer) yang sesuai untuk memastikan bahawa nilai aset rizab mereka selalu dikekalkan pada tahap sekurang-kurangnya 100% jumlah nilai semua stablecoin mereka yang masih ada dalam edaran pada bila-bila masa. Aset rizab mesti dinilai berasaskan prinsip penandaan kepada pasaran (marked-to-market) setiap hari.
  • Amanah: Semua aset rizab harus disimpan dalam akaun yang berasingan daripada akaun pengeluar stablecoin dan di bawah jagaan institusi kewangan yang berlesen untuk menyediakan perkhidmatan jagaan (custody) di Singapura. Jagaan aset oleh penjaga di luar negara dibenarkan dengan syarat penjaga tersebut mempunyai penarafan kredit minimum “A-” dan mempunyai cawangan di Singapura yang dikawal selia oleh MAS untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan.
  • Pengakusaksian dan audit: Pengeluar stablecoin mesti mendapatkan pengakusaksian bebas (independent attestation), sebagai contoh, daripada firma audit luar, tentang aset rizab setiap bulan. Pengakusaksian ini harus meliputi peratusan aset rizab yang ekstra selepas menolak nilai tara (par value) stablecoin dalam edaran dan mesti diterbitkan dalam laman web pengeluar dan diserahkan kepada MAS pada akhir bulan berikutnya (untuk bulan yang “diakusaksikan”). Pengeluar stablecoin mesti juga melantik juruaudit luar untuk menjalankan audit tahunan terhadap aset rizab.
  • Modal basis: Pengeluar stablecoin mesti ada modal basis (base capital) bernilai 1 juta dolar Singapura atau 50% daripada perbelanjaan operasi tahunan mereka. Mana-mana satu yang lebih tinggi nilainya akan digunakan sebagai basis.
  • Aset cair: Pengeluar stablecoin mesti memegang aset cair yang bernilai sama dengan 50% perbelanjaan operasi tahunan. Jika mengikut penilaian pengeluar sendiri, amaun aset cair yang diperlukan untuk mencapai pemulihan atau berhenti operasi secara teratur adalah lebih tinggi daripada 50% perbelanjaan operasi tahunan, maka jumlah ini akan digunakan sebaliknya. Selain itu, anggaran tersebut harus diaudit setiap tahun.
  • Aktiviti terlarang: Pengeluar stablecoin tidak dibenarkan untuk menjalankan aktiviti lain yang mungkin memperkenalkan risiko tambahan kepada perniagaannya. Aktiviti ini termasuk melabur dalam atau memberi pinjaman kepada syarikat lain, meminjamkan stablecoin (lending) atau menggunakan stablecoin untuk mengambil bahagian dalam staking, dan berdagang token pembayaran digital.
  • Tempoh penebusan: Pengeluar stablecoin hendaklah mengembalikan nilai tara stablecoin kepada pemegang dengan pantas, dan dalam apa jua keadaan, tidak lewat daripada lima hari perniagaan dari tarikh apabila permintaan penebusan yang sah diterima.
  • Pendedahan maklumat: Pengeluar stablecoin dikehendaki menerbitkan kertas putih melalui laman web korporat mereka untuk mendedahkan informasi seperti penerangan tentang stablecoin tersebut, hak dan obligasi pihak pengeluar dan pemegang, risiko yang boleh menjejaskan kestabilan nilai aset itu dan keupayaan pengeluar untuk memenuhi kewajipannya dsb. Maklumat tersebut harus dikemas kini jika perlu.
  • Dwikewarganegaraan“: Sebagai permulaan, stablecoin yang menerima taraf “stablecoin terkawal MAS” (MAS-regulated stablecoin) tidak boleh dikeluarkan di bawah bidang kuasa yang lain.
  • Aktiviti pengantara: Penyedia perkhidmatan pengantaraan stablecoin akan dikawal selia sebagai penyedia perkhidmatan token pembayaran digital (DPT service provider) kerana tiada keperluan yang khusus untuk stablecoin telah dikenal pasti. Mereka hanya perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk pengantara token pembayaran digital.
  • Tempoh pemindahan: Penyedia perkhidmatan pemindahan stablecoin daripada satu pihak kepada pihak lain harus memastikan pemindahan itu dilengkapkan dalam tempoh tidak lebih daripada tiga hari perniagaan dari hari permintaan diterima.
  • Pengasingan aset: “Stablecoin terkawal MAS” pelanggan tidak boleh dicampur dengan aset pengantara sendiri.
  • AML/CFT: Piawaian yang sedia ada tentang pencegahan pengubahan wang haram/penentangan pembiayaan aktiviti keganasan (Anti Money Laundering, AML)/(Countering the Financing of Terrorism, CFT) harus juga dipatuhi.

Sumber:

  1. https://www.mas.gov.sg/news/media-releases/2023/mas-finalises-stablecoin-regulatory-framework
  2. https://www.mas.gov.sg/-/media/mas/news/media-releases/2023/mas-stablecoin-regulatory-framework-infographic.pdf
  3. https://www.mas.gov.sg/-/media/mas-media-library/publications/consultations/pd/2022/consultation-on-stablecoin-regulatory-approach_finalised.pdf
  4. https://www.mas.gov.sg/-/media/mas-media-library/publications/consultations/pd/2023/aug2023_stablecoins-consult-reponse-annex-c—public-submissions_vfinal.pdf
  5. https://www.mas.gov.sg/-/media/mas-media-library/publications/consultations/pd/2023/response-to-consultation-on-stablecoins-regulation_15aug2023.pdf

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

You may also like

Leave a comment

Stay ahead in the crypto game with us! Get insightful news and analysis in Malay, plus expert English-Malay translation services for all your crypto content needs.

 

Don’t miss your chance to dominate the Malaysian crypto market. Translate your content now!

Editor's Choice

Latest

Warning:

The information on our website is not intended to be financial or investment advice. It is for informational and entertainment purposes only. You are encouraged to consult with a licensed or registered financial or investment advisor before making any investment decisions. Investing in cryptocurrency is a risky activity, and in the worst-case scenario, you could lose your entire investment and savings. If you don’t know what you’re doing,  it is then better for you to stay away from cryptocurrency.

Amaran:

Maklumat dalam laman web kami bukanlah nasihat kewangan atau pelaburan tetapi untuk tujuan hiburan dan perkongsian maklumat sahaja. Anda digalakkan untuk berunding dengan penasihat kewangan atau pelaburan yang berlesen atau berdaftar sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam mata wang kripto ialah aktiviti berisiko, dan dalam kes yang paling teruk, anda boleh kehilangan keseluruhan pelaburan dan simpanan anda. Elakkan daripada melabur dalam mata wang kripto sama sekali jika anda tidak memahami risikonya.

All rights reserved. Hak cipta terpelihara 2023-2024 ©  KriptoHarian.my, a product of Kriptly Media PLT (LLP0028199-LGN) (formerly known as Discover Like Bornean PLT).

Terima kasih kerana berminat dengan artikel ini. Klik ya untuk membaca.
Baki kredit : 0
Bayaran balik hanya dibenarkan untuk kes yang dinyatakan dalam syarat penggunaan laman web kami. Adakah anda pasti ingin membatalkan langganan?
Your complete crypto content solution, from news to high-quality Malay translations, world's first.
-
00:00
00:00
Update Required Flash plugin
-
00:00
00:00