Taiwan, sebuah pulau yang selama ini memelihara hubungan antarabangsa yang rumit, khususnya dengan negara China dan Amerika Syarikat, menyambut pengasas terkenal blok rantai Ethereum, Vitalik Buterin dengan hati teruja. Walaupun kerajaan Xi Jinping mendakwa Taiwan merupakan sebahagian daripada negara itu, namun, Taiwan jelasnya tidak pernah bersetuju dengan dakwaan tersebut. Pada hakikatnya, Taiwan mempunyai pasport dan pentadbiran sendiri yang autonomi dan bebas daripada parti komunis China. Oleh itu, status Taiwan sebagai sebuah negara atau wilayah seringkali diperdebatkan di kalangan pembela masing-masing.
Menurut Formosa News (民視英語新聞), saluran berita yang berpangkalan di Taiwan, Vitalik Buterin telah diberikan Kad Emas Pekerjaaan Taiwan (Taiwan Employment Gold Card) yang membolehkan beliau bekerja dan menetap di pulau yang berkongsi sejarah dengan salah sebuah negeri di tanah air kita, Melaka. Kedua-dua tempat yang menarik ini pernah menjadi tanah jajahan orang Portugis.
Dilancarkan pada 2018, Taiwan Employment Gold Card ialah satu kad 4-dalam-1, yang termasuk visa pemastautin, permit bekerja, Sijil Penduduk Asing (Alien Resident Certificate, ARC) dan permit masuk semula (re-entry permit). Pemegang kad ini akan dibenarkan keluar dari Taiwan dan masuk semula ke negara itu dengan lebih mudah.
Sebuah majlis penyampaian yang khas telah diadakan untuk menyerahkan kad tersebut kepada selebriti kripto itu. Dalam majlis penyampaian tersebut, Vitalik boleh dilihat menerima kad yang istimewa itu daripada Menteri Hal Ehwal Digital Taiwan, Audrey Tang.
Vitalik mengulas dalam Bahasa Cina (jangan ragu, beliau fasih bertutur dalam Mandarin!) bahawa beliau telah melawat Taiwan banyak kali dan Taiwan mempunyai komuniti Ethereum yang mengagumkan.

Menteri Hal Ehwal Digital Taiwan, Audrey Tang. Sumber foto: Wikipedia.
Audrey Tang ialah seorang pengaturcara perisian dan menteri tanpa portfolio Taiwan yang telah digambarkan sebagai salah seorang daripada “sepuluh personaliti pengkomputeran Taiwan yang paling hebat”. Pada Ogos 2016, Tang telah dijemput untuk mengambil peranan sebagai seorang menteri tanpa portfolio dan menjadikannya transjantina pertama dalam kabinet eksekutif tertinggi di negara yang tidak mendiskriminasi golongan LGBT itu.
Untuk kalian yang ingin tahu, Ethereum ialah protokol yang amat berbeza dengan Bitcoin, khususnya dari segi kebergunaan dan penerimagunaan teknologi di sebalik protokol itu. Aset digital asli Ethereum dikenali sebagai ETH atau Ether. Setakat hari ini, aset ini ialah aset yang kedua terbesar dari segi permodalan pasaran (market capitalization). Jika anda berminat, artikel kami ini mungkin boleh membantu anda memahami protokol yang inovatif ini dengan cara yang mudah untuk difahami.

Pengasas terkenal blok rantai Ethereum, Vitalik Buterin. Sumber foto: Wikipedia.
Sumber foto utama: Wikipedia – Taipei 101