Bersempena dengan Ramadan 2023, Binance.com, platform perturkaran mata wang kripto yang terbesar di dunia telah menganjurkan satu sesi soal jawab dengan CEO mereka, CZ, eksklusif untuk Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia. CZ yang kini menetap di Timur Tengah memberikan responsnya tentang soalan-soalan yang sering kali ditanya oleh komuniti mata wang kripto.
Soalan-soalan yang ditanya termasuk pandangan CZ mengenai industri mata wang kripto di kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara (Middle East and North Africa, MENA), peranan pendidikan dalam penerimagunaan mata wang kripto secara besar-besaran, wawasan Binance dan “ramalan” CZ terhadap masa depan industri kripto, langkah seterusnya Binance terhadap “persaraan” stablecoin BUSD (Binance USD), cadangan untuk memiliki bank Binance sendiri dan akhir sekali Web3.
Sesi soal jawab itu dikendalikan dalam bahasa Inggeris percakapan. Sehubungan itu, terjemahan kami telah disesuaikan untuk membantu anda memahami perkara yang dibincangkan, harap-harap, dengan lebih baik. Harap maklum.
Fasilitator (Alex): CZ, jelas bahawa anda selalu melawat Timur Tengah. Saya percaya anda berada di sana sekarang juga. Apakah yang anda dapati paling berinspirasi tentang budaya umat Islam di sana?
CZ: Sebenarnya saya bukan sekadar melawat sahaja, padahal saya berpangkalan di sini sekarang. Jadi, sini ialah pangkalan saya. Saya terbang masuk dan terbang keluar. Saya dapati Timur Tengah atau kaum Muslim sering disalahfahamkan. Media Barat menggambarkan mereka dengan tahap keraguan atau naratif yang agak tidak adil pada pendapat saya. Saya mendapati bahawa orang di sini sangat merendah diri, berusaha untuk mendorong perniagaan, dan sangat munasabah dan mesra. Bagi saya, sini ialah salah satu tempat yang terbaik untuk menjalankan perniagaan.
Alex: Baik. Dalam sedikit masa lagi, akan kami bincang tentang perihal blok rantai dan kripto yang spesifik untuk kawasan MENA. Sebelum itu, berkenaan dengan tema Ramadan, jelas sekali Binance telah melakukan banyak kerja amal termasuk pendidikan. Saya berminat untuk mendengar perspektif anda tentang betapa pentingnya Binance sebagai sebuah perniagaan untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui kerja amal (Binance Charity) dan melalui pendidikan Web 3?
CZ: Pertama sekali, saya berasa pendidikan adalah sangat penting! Pendidikan ialah cara yang terbaik untuk meningkatkan penerimagunaan. Apabila orang ramai belajar tentang teknologi baharu secara betul dan belajar tentang risiko, ganjaran, dan kebergunaan teknologi, itulah cara terbaik untuk mencapai penerimagunaan. Pendidikan juga merupakan alat yang terbaik untuk melindungi pengguna. Apabila pengguna belajar tentang risiko dan cara untuk melindungi diri mereka, sesungguhnya itu adalah lebih baik daripada pengurusan keselamatan dan risiko. Pendidikan juga boleh dikatakan amal jariah yang paling baik. Apabila anda mengajar seseorang untuk memancing ikan dan bukannya terus memberi wang kepadanya, dia akan mendapat manfaat daripada itu untuk sepanjang hidupnya. Walau bagaimanapun, pendidikan seharusnya berjangka panjang.
Ada kalanya usaha amal kami terpaksa dipercepatkan. Sebagai contoh, semasa gempa bumi di Turki dan perang di Ukraine, dana perlu dihantar dengan segera. Mereka yang menerima pertolongan daripada kami akan dapat menghargai mata wang kripto dan tidak akan menerima bulat-bulat naratif negatif tentang mata wang kripto dalam media. Kesemua ini adalah selaras dengan semangat Ramadan.
Alex: Dari sudut yang berbeza mengenai pendidikan, saya tahu Binance turut berusaha untuk mendidik peserta industri juga, seperti melalui kertas dasar yang diterbitkan baru-baru ini. Pada pendapat anda, apakah antara amalan terbaik yang boleh diterima pakai oleh industri untuk memacu penggunaan web 3?
CZ: Dalam fikiran saya sekarang, perkara yang paling penting adalah harus kita memberi tumpuan kepada utiliti dan bukannya harga. Terlalu ramai orang asyik bercerita tentang harga sahaja. Pada bila-bila masa, apabila harga naik, contohnya, sebanyak satu peratus atau turun satu peratus, banyak perbincangan tentang itu akan timbul di Twitter atau saluran media. Akibatnya, harga akan turun naik.
Terdapat juga ramai pedagang harian (day trader). Melainkan anda seorang pedagang harian, anda tidak perlu terlalu risau tentang harga. Kita sebagai industri harus memberi tumpuan kepada pembinaan utiliti, pendek kata, produk yang boleh digunakan oleh orang ramai.
Memandangkan industri kita ini berasaskan prinsip desentralisasi (decentralized), kadangkala ia ditemui dalam keadaan yang berpecah belah. Terdapat banyak perselisihan dalam industri ini. Kita masing-masing bergelut untuk merebut bahagian pasaran dalam industri yang masih berada dalam peringkat awal keluk penerimagunaan (adoption curve). Pada hakikatnya, adalah lebih baik untuk kita bekerjasama untuk mengembangkan industri ini bersama-sama.
Ada juga yang menikam dari belakang, seperti menyebarkan perkara buruk tentang peserta industri yang lain. Perkara yang mengapa-apakan mana-mana peserta industri biasanya turut akan merosakkan kepentingan semua orang yang lain, termasuk industri itu dan juga diri mereka sendiri. Saya berpendapat mereka ini harus berhenti berbuat begitu.
Kita juga harus mengamalkan pandangan yang sejagat. Ramai orang hanya mementingkan pasaran mereka sendiri. Kita hidup dalam dunia yang kecil dan segala-galanya memberi kesan kepada segala-gala yang lain dan secara global.
Akhir sekali, kita seharusnya bekerjasama rapat dengan pengawal selia. Dalam industri kita, ada yang berpendapat bahawa kita harus menjauhkan diri daripada kerajaan dan pengawal selia. Ini bukan pendekatan yang terbaik pada pendapat saya. Kita hendaklah melaksanakan inovasi dan pendekatan kita langkah demi langkah. Selain itu, kita harus juga memastikan pengawal selia adalah selesa dengan kehadiran kita.
Alex: Sememangnya sesetengah kerajaan atau syarikat kewangan tradisional adalah mesra kripto. Namun, ada juga pihak yang teragak-agak untuk menerima teknologi baharu. Pada pendapat anda, apakah yang perlu dilakukan untuk merapatkan kewangan tradisional dan dunia blok rantai dan kripto?
CZ: Perkara yang paling penting sebenarnya adalah untuk mendidik kewangan tradisional (traditional finance, TradFi) tentang faedah menggunakan teknologi blok rantai. Kos boleh dikurangkan dengan nyata sekali. Perniagaan mereka akan menjadi lebih cekap dan berdaya saing. Hari ini, jika anda memindahkan 500 dolar melalui bank, anda mungkin kehilangan 50 dolar kerana dikenakan caj transaksi.
Sebaik sahaja bank menggunakan teknologi blok rantai, caj transaksi akan dapat dikurangkan dengan serta merta. Tambahan pula, tenaga manusia yang diperlukan dalam urus niaga akan dapat dikurangkan juga. Berikutan itu, kos akan turun.
TradFi yang bertindak awal akan dapat memperoleh ganjaran yang lumayan. Kita perlu menggunakan teknologi ini untuk membantu TradFi menjadi lebih berjaya dan berdaya saing. Kita juga perlu mengintegrasikan TradFi dengan blok rantai. Sudah ada ratusan juta pengguna kripto sekarang. TradFi yang mengambil bahagian dalam industri kripto hari ini akan mempunyai akses sedia ada kepada ratusan juta pengguna kita. Mereka yang gagal bertindak sekarang akan ketinggalan.
Alex: Adakah anda mempunyai contoh yang menarik tentang pengalaman anda atau ahli pasukan anda yang berjaya mendidik mana-mana kewangan tradisional dan meyakinkan mereka untuk bekerjasama dengan kita dalam industri kripto?
CZ: Memang ada. Selepas bersembang dengan saya, seorang CEO bank membuat keputusan untuk membuka akaun dengan Binance dan bermula menggunakan mata wang kripto. Sebenarnya, sebelum itu mereka sudah mendengar tentang mata wang kripto daripada anak-anak mereka tetapi tidak bertindak selama ini. Selain itu, apabila saya mengunjungi sebuah bank untuk membincangkan kerjasama, walaupun pada masa itu bank tersebut masih belum menggunakan kripto, namun semua eksekutif bank itu ialah pengguna Binance.com. Ia merupakan satu pengalaman yang betul-betul menarik bagi saya. Pengalaman ini berlaku di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Alex: Negara-negara di rantau MENA amat bersedia untuk masa depan khususnya tehadap blok rantai dan teknologi kewangan baharu. Apakah pandangan anda tentang komuniti kripto yang berkembang di seluruh rantau MENA dan apakah pelan Binance di rantau ini?
CZ: Secara keseluruhannya, rantau MENA memberi tumpuan yang banyak kepada industri perniagaan. Mereka mempunyai kepimpinan yang sangat kuat dan berfikiran jauh ke hadapan. Mereka sedar tidak boleh bergantung kepada petroleum selama-lamanya dan perlu memperkembangkan industri yang lain termasuk pelancongan dan industri hartanah.
Industri Fintech ialah salah satu industri yang paling diutamakan. Mereka mengalu-alukan teknologi blok rantai baharu dan perniagaan kripto baharu. Setahun setengah yang lepas, semasa saya baru datang ke Dubai, pada masa itu mungkin terdapat kira-kira setengah dozen syarikat kripto di sini. Hari ini, mungkin ada lebih daripada 700. Bandar lain seperti Abu Dhabi, Bahrain dan tempat lain di rantau ini juga berkembang dengan sangat cepat. Kawasan ini ialah salah satu tempat terbaik untuk dikunjungi. Seperti yang saya katakan, kita memeluk pandangan global. Blok rantai tidak akan dapat berfungsi dengan satu nod dalam rangkaian sahaja. Kami memerlukan rangkaian di seluruh dunia.
Saya telah menghabiskan banyak masa di Afrika tahun ini dan tahun lepas. Sebenarnya hasil pendapatan perniagaan kami di Afrika tidaklah tinggi. Bagaimanapun, dengan mengambil kira populasi di kawasan itu dan hakikat bahawa ramai orang di sana tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan, kawasan itu mungkin mempunyai potensi yang besar dalam jangka panjang. Mereka agak dikecualikan dari segi kewangan pada masa ini dan kami mencuba memberi akses kewangan kepada mereka.
Rantau MENA sudah mempunyai suasana yang sesuai untuk perniagaan blok rantai. Saya menggalakkan mereka yang berada di luar rantau MENA untuk datang dan melihat dengan mata mereka sendiri.
Alex: Apakah yang anda harap anda tahu semasa anda baru bermula dengan kripto?
CZ: Banyak perkara yang akan kami lakukan dengan berbeza. Saya mungkin akan datang ke rantau MENA lebih awal. Kita sepatutnya melibatkan pengawal selia di peringkat global lebih awal dan lebih banyak usaha pendidikan lebih awal. Saya mungkin sepatutnya belajar bahasa Arab lebih awal. Walau apa pun, kami membuat keputusan terbaik yang dapat kami fikirkan ketika itu dan terus bergerak menuju ke hadapan.
Alex: Adakah anda menganggap diri anda seorang penutur bahasa Arab sekarang?
CZ: Tidak. Bahasa Arab ialah bahasa yang sukar dan saya masih belum memahami abjadnya.
Alex: Adakah Binance mempertimbangkan stablecoin lain sebagai pengganti BUSD atau versi 2.0 BUSD?
CZ: BUSD dikeluarkan oleh PAXOS. Mereka telah diarahkan oleh pengawal selia untuk berhenti mengeluarkan BUSD. Oleh itu, bekalan BUSD dalam edaran tidak akan meningkat. BUSD yang sedia ada adalah selamat, disokong satu kepada satu dan penebusan adalah lancar. Melainkan pengawal selia mengubah fikiran mereka, BUSD tidak akan lagi dapat berkembang.
Kami tidak mahu mengelirukan pengguna dengan memanggil sesuatu yang baharu dengan nama BUSD. Kami sedang bekerjasama dengan beberapa rakan perniagaan stablecoin lain. Sebahagian daripada stablecoin itu adalah berasaskan dolar AS manakala banyak yang bukan. Banyak juga yang tidak disokong oleh mata wang fiat.
TUSD ialah salah satu daripada contoh tersebut. Baru-baru ini, kami telah melancarkan kempen yuran dagangan percuma untuk pasangan dagangan BTC dan TUSD dengan harapan dapat meningkatkan permodalan pasaran TUSD.
Terdapat banyak lagi pilihan lain yang sedang kami pertimbangkan.
Alex: Bagaimanakah Binance merancang untuk kekal sebagai yang terbesar? Ada syarikat teknologi yang menjadi besar dalam masa beberapa tahun dan kemundiannya mundur. Bagaimanakah anda memastikan perkara yang sama tidak berlaku dengan Binance?
CZ: Untuk menjadi yang terbesar ialah matlamat yang salah. Kami kebetulan menjadi yang terbesar kerana orang memilih untuk menggunakan produk dan perkhidmatan kami. Kami juga bukan syarikat yang terbesar di dunia. Google mungkin adalah100 kali lebih besar daripada kami, begitu juga dengan hasil pendapatan. Besar atau kecil bukanlah isu bagi saya secara peribadi.
Kami akan mengenal pasti apa yang dapat kami lakukan dengan terbaik dan seterusnya melakukan perkara itu dengan baik, seperti membina platform yang stabil dan selamat untuk membolehkan orang ramai menukar aset dan menyediakan pasaran untuk orang ramai mengakses kecairan.
Kami ialah kami, dan kami adalah sebesar kami sendiri.
Sekiranya ada orang yang dapat melakukan apa yang kami lakukan dengan lebih baik atau dengan cara yang berbeza dan kemudiannya menjadi lebih besar daripada kami, kami boleh cuba belajar daripada mereka dan menambahbaik.
Bagaimanapun, sebagai contoh, jika industri lain seperti AI menjadi industri yang lebih besar, tidak mengapa, kami tidak akan beralih kepada AI. Penerokaan angkasa lepas menjadi industri besar, kami tidak akan tiba-tiba beralih ke industri itu. Itu bukan kepakaran teras kami. Web2 masih lebih besar daripada Web3 tetapi kami sebaliknya memberi tumpuan kepada Web3.
Matlamat kami bukan untuk menjadi yang terbesar atau memaksimumkan keuntungan. Kami hanya perlu melakukan perkara yang dapat kami lakukan dengan baik, yang mampan serta dapat memberi nilai kepada pengguna kami.
Alex: Bagaimanakah Binance menjangka perkembangan teknologi blok rantai dalam dekad-dekad yang akan datang? Bagaimanakah Binance meletakkan dirinya untuk kekal di barisan hadapan evolusi ini?
CZ: Sepuluh tahun biasanya merupakan jangka masa yang cukup lama untuk kita menganggar tahap perubahan. Saya fikir dalam masa sepuluh tahun, Kewangan Desentralisasi (Decentralized Finance, DeFi) akan menjadi lebih besar daripada Kewangan Sentralisasi (Centralized Finance, CeFi). Bursa Desentralisasi (Decentralized Exchange, DEX) akan menjadi lebih besar daripada Bursa Sentralisasi (Centralized Exchange, CEX).
Kami mahu melabur banyak dalam bidang tersebut termasuk projek-projek yang dikendalikan oleh pihak lain. Kami juga mempunyai pasukan kami sendiri yang mengusahakan penyelesaian yang berbeza. Kita perlu melabur dalam inovasi secara berterusan.
Kita sepatutnya sentiasa bersedia untuk mencabar diri kita sendiri. Kalau tidak, kita akan dicabar oleh orang lain jika kita hanya berminat untuk melindungi produk kita yang sedia ada tanpa inovasi.
Alex: Bolehkah anda membincangkan topik “jambatan” (bridge)? Apakah faedah, peluang dan potensi risiko “jambatan” desentralisasi?
CZ: Dalam dunia desentralisasi, sesiapa sahaja boleh mencabangkan (fork) blok rantai, mencipta blok rantai yang baharu, atau membina aplikasi sendiri. Saya tidak jangka mana-mana satu blok rantai akan “memerintah”. Kita mungkin akan mempunyai beribu-ribu blok rantai dan berjuta-juta token. Oleh itu, jambatan/penghubung antara mereka mengambil peranan yang sangat penting.
Pertukaran berpusat (bursa sentralisasi) turut berfungsi sebagai jambatan utama untuk pelbagai jenis mata wang kripto. Binance.com mungkin ialah jambatan terbesar di dunia hari ini tetapi teknologi baharu sudah membolehkan jambatan dalam talian (on-chain) desentralisasi berfungsi dengan baik. Mereka ini amat berguna.
Saya juga berpendapat bahawa kebanyakan inovasi berlaku di sempadan atau persimpangan antara dua sistem, teknologi atau ekosistem yang berbeza. Jadi, projek pembangunan jambatan biasanya mencadangkan ganjaran kewangan yang tinggi dan selalu menetas idea yang biasanya tidak terduga dan memperkenalkan model perniagaan yang menarik.
Alex: Berkenaan dengan penyelesaian global untuk on/off ramp (membeli mata wang kripto dengan wang sah/menjual mata wang kripto untuk menerima wang sah), adakah Binance meneroka kemungkinan untuk memiliki bank sendiri atau penyelesaian dalaman yang serupa dan tidak bergantung kepada perjanjian pihak ketiga?
CZ: Soalan ini nampak mudah tetapi realitinya tidak semudah itu. Realitinya, terdapat begitu banyak variasi mata wang fiat yang berbeza. Sesetengah negara mempunyai akses API perbankan fiat yang sangat bagus. Sebagai contoh, Signature Bank dan bank Silvergate mempunyai akses API yang sangat baik tetapi malangnya mereka telah ditutup. Kami sudah kehilangan akses itu. Bukan semua negara mempunyai tahap akses seperti kedua-dua bank itu.
Terdapat banyak permintaan atau cadangan untuk Binance membeli atau memiliki bank sendiri. Soalan ini banyak ditanya orang ramai. Masalahnya, membeli bank tidak dapat menyelesaikan semua masalah dalam skala global. Anda memerlukan bank yang sepadan di tempat yang berbeza tetapi setiap bank mempunyai pengawal selia mereka sendiri. Sesetengah bank pusat tidak membenarkan bank mereka berniaga dengan perniagaan kripto, seperti di Nigeria. Sebaliknya, terdapat juga negara yang membenarkan bank mereka berniaga dengan bursa kripto.
Di tempat di mana bank tidak menyokong perniagaan kripto, perdagangan rakan setara (peer-to-peer) didapati berkembang pesat. Orang ramai menjalankan perdagangan mata wang kripto antara mereka sendiri dan boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Binance untuk memastikan urus niaga diselesaikan dengan berjaya. Kami juga membantu mengantara penyelesaian pertikaian untuk memberikan tahap jaminan atau keselamatan kepada proses transaksi.
Kami juga bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pembayaran dan kad kredit. Anda boleh membeli mata wang kripto dengan kad kredit dan menggunakan kad kredit untuk membelanjakan aset kripto anda secara langsung.
Terdapat pelbagai jenis on/off ramp hari ini tetapi semuanya bukan penyelesaian global.
Membeli bank tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Tambahan pula, bank ialah perniagaan yang berada di bawah kawal selia yang ketat sekali. Anda perlu beroperasi dengan cara tertentu dan hampir tiada inovasi. Anda terpaksa meminjamkan wang pelanggan untuk menjana wang dan menggunakan model perniagaan lama yang bukan sistem rizab depositori “satu kepada satu”.
Meskipun kami sedar akan cabaran-cabaran yang mungkin kami hadapi, kami tetap mahu mencuba nasib. Kami sedang berunding dengan badan kawal selia mahupun untuk memohon lesen perbankan, mengambil alih bank, mengendalikan bank depositori penuh, iaitu dengan memegang rizab satu kepada satu tanpa meminjamkan wang pelanggan dan memperoleh pendapatan melalui caj transaksi, atau sebagai penyedia perkhidmatan pembayaran dan bekerjasama dengan syarikat kad kredit.
Kami mempunyai ratusan orang yang mengusahakan inisiatif ini. Hanya kerana kami telah kehilangan beberapa saluran perbankan di sesetengah tempat tidak bermakna kami telah kehilangannya di peringkat global.
Tiada satu penyelesaian on/off ramp yang universal dan dapat memenuhi keperluan semua negara di dunia. Setiap negara adalah berbeza. Mujurlah Binance adalah cukup besar untuk mengusahakan penyelesaian yang berbagai-bagai di peringkat global untuk menyediakan kecairan, harga dan akses yang terbaik kepada pengguna kami.
Alex: Pada pendapat anda, apakah rupa Web3 dalam masa 5 tahun?
CZ: Ramai orang telah hilang keyakinan terhadap sistem perbankan. Oleh itu, pada pendapat saya, penerimagunaan teknologi blok rantai dalam industri kewangan tradisional dan kripto akan dipercepatkan. Secara khususnya, ia bergantung kepada usahawan. Jika seseorang usahawan membina sebuah platform P2P atau DEX yang berjaya, maka dunia akan berubah kerana inovasi itu.
Kita tidak dapat meramal masa depan dengan tepat tetapi apa yang dapat kita perhatikan adalah inovasi teknologi tidak akan berhenti. Anda tidak boleh memadam atau memundurkan konsep dalam fikiran orang.
Terdapat semakin ramai pengguna kripto, semakin banyak projek dan semakin banyak kes kegunaan kripto. Oleh sebab kebanyakan mata wang kripto mempunyai bekalan yang terhad, dengan adanya semakin ramai pengguna, permintaan terhadap mata wang kripto berkenaan turut akan bertambah.