Pasaran beruang (bear market) merupakan masa terbaik untuk menguji daya tahan komuniti dan industri mata wang kripto. Dalam artikel ini, akan kita lihat bersama-sama kebankrapan salah satu pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia, FTX, satu peristiwa yang berlaku semasa pasaran beruang pada tahun 2022.
FTX diasaskan oleh Sam Bankman-Fried, atau lebih dikenali sebagai SBF dan juga Gary Wang pada tahun 2019. Watak utama artikel ini, SBF, ialah seorang graduan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan bekas pekerja Jane Street Capital, sebuah firma perdagangan yang mempunyai kehadiran global dan berpejabat di Hong Kong dan Singapura. FTX ialah singkatan untuk Futures Exchange atau “Bursa Niaga Hadapan”.
Anak lelaki kepada dua orang profesor Sekolah Undang-undang Stanford (Stanford Law School) itu membina kekayaan pertamanya melalui firma perdagangan kriptonya, Alameda Research, yang diasaskannya pada 2017 di California. Ibu pejabat firma itu kemudiannya dipindah ke Hong Kong.
Pengasas yang muda itu tidak teragak-agak menunjukkan kecenderungan politiknya secara terbuka. Pada 2020, SBF dilaporkan menderma 5.2 juta dolar AS kepada kempen presiden Joe Biden, seorang ahli politik Parti Demokratik. Di negara Patung Liberty itu, Parti Republikan dan Parti Demokratik merupakan dua parti politik yang terbesar. Presiden AS sekarang, Joe Biden ialah seorang demokrat manakala pendahulunya, Donald Trump, yang terkenal dengan manteranya You are fired! dalam rancangan TV The Apprentice dan juga wawasan tembok besar China versi AS beliau, ialah seorang ahli politik Parti Republikan.
Selepas kejatuhan FTX, dalam satu sesi temu bual telefon dengan Tiffany Fong, seorang pemimpin pendapat utama (key opinion leader, KOL), SBF berkata dia sebenarnya turut menderma sejumlah yang sama kepada Repulikan secara rahsia. Menurutnya, perkara itu tidak dimaklumkan kepada orang ramai bukan atas sebab kawal selia tetapi kerana dia percaya wartawan sebangsanya akan “ketakutan” jika mendapat tahu dia telah menderma kepada Republikan kerana mereka semua “sangat liberal”, dan dia tidak mahu terlibat dalam perkelahian mengenai itu. Istilah “liberal” sering dikaitkan dengan Parti Demokrat di Amerika Syarikat.
Menurut laporan Nikkei Asia, atas kekecewaannya terhadap platform pertukaran “berkualiti buruk” yang wujud di pasaran, bekas pedagang Wall Street itu bereaksi dengan mengasaskan pertukaran derivatif kripto berjenama FTX dua tahun kemudian.
Syarikat yang menubuhkan ibu pejabat di Hong Kong itu diperbadankan di Antigua dan Barbuda, sebuah kepulauan yang terletak di timur Laut Caribbean. Pada 2021, ibu pejabat firma perdagangan itu kemudiannya dipindahkan ke Bahamas.
Menurut laporan yang sama, SBF berpindah ke Hong Kong berikutan peraturan yang lebih ketat di A.S. yang mengharamkan banyak produk mata wang kripto yang kompleks.
Harus diingati laporan Nikkei Asia tersebut diterbitkan sebelum FTX muflis. Dapat kita perhatikan bahawa laporan itu disediakan dengan nada yang agak positif terhadap SBF. Anda digalakkan untuk membaca laporan itu dengan mengambil kira apa yang berlaku kepada FTX kemudian.
Menurut laporan Reuters, syarikat yang baru berusia dua tahun ketika itu sudah mempunyai lebih daripada sejuta pengguna dan mengendalikan kira-kira 10 bilion dolar AS dalam volum dagangan setiap hari secara purata.
FTX mempunyai token asli sendiri yang bernama FTT (FTX Token). Token ini jugalah fius yang membawa kepada kejatuhan bursa kripto itu tidak lama kemudian.
Pendek kata, empayar mata wang kripto SBF terdiri daripada dua “tanah jajahan” yang utama: FTX (platform pertukaran) dan Alameda Research (firma perdagangan). Kedua-dua entiti ini boleh disifatkan sebagai gergasi dalam industri masing-masing.
Aset
Laporan Coindesk.com pada 2 November 2022 mendedahkan Alameda mempunyai aset sejumlah 14.6 bilion dolar AS setakat 30 Jun. Aset tunggal terbesar Alameda ialah token FTT berjumlah 3.66 bilion dolar AS yang “tidak dikunci” (unlocked FTT).
Untuk pengetahuan anda, aset yang “tidak dikunci/berkunci” ialah aset yang boleh digunakan atau didagangkan dengan bebas. Jika wang anda disimpan dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit), wang anda boleh dikatakan “dikunci/berkunci”. Jika wang anda disimpan dalam akaun simpanan atau akaun semasa anda, anda boleh menggunakan wang anda itu pada bila-bila masa. Dalam kes ini, wang anda “tidak dikunci”.
Catatan ketiga terbesar di bawah bahagian aset dalam lejar perakaunan Alameda ialah “cagaran FTT” (FTT collateral) yang bernilai $2.16 bilion. Ini menunjukkan bahawa Alameda Research mungkin menggunakan token FTT sebagai cagaran untuk tujuan kewangannya. Biasanya, cagaran digunakan untuk mendapatkan pinjaman atau memperoleh instrumen kewangan yang lain.
Liabiliti
Dari segi liability (hutang), Alameda Research mempunyai liabiliti yang berjumlah 8 bilion dolar AS. Komponen terbesar liabiliti Alameda terdiri daripada pinjaman yang berjumlah 7.4 bilion dolar AS. Ini mencadangkan syarikat itu telah mengambil hutang yang besar untuk menanggung perbelanjaan operasi harian. Yang menarik, liabiliti mereka turut termasuk token FTT berkunci (locked FTT) yang bernilai 292 juta dolar AS.
Ekuiti bersih
Dengan ini, boleh dikatakan majoriti ekuiti bersih (net equity) dalam perniagaan Alameda terdiri daripada token FTT.
Ekuiti bersih = Jumlah aset – Jumlah liabiliti
Walaupun pada zahirnya penemuan ini kelihatan tiada apa yang perlu dirisaukan, namun, ia jelas sekali mencadangkan hubugan kewangan rapat yang agak “luar biasa” antara FTX dan Alameda. Tambahan pula, adakah ini mungkin satu risiko yang terlepas perhatian memandangkan Alameda kini bergantung hampir sepenuhnya kepada aset maya yang dicipta oleh komradnya sendiri? Jangan kita lupa, FTX dan Alameda berkongsi bos yang sama.
Beberapa hari kemudian, pada 6 November, ChangPeng Zhao (CZ), CEO platform pertukaran mata wang kripto Binance yang merupakan pesaing kepada FTX mengumumkan pelan mereka untuk menjual (liquidate) baki token FTT yang dipegang mereka selepas mengambil kira “pendedahan yang terbongkar baru-baru ini”.
Apakah yang akan anda buat selepas mendapati bursa kripto yang terbesar di dunia tidak mahu lagi memegang token sama yang turut anda pegang? Berikutan itu dan sehingga hari ini, masih ada yang menganggap “keputusan korporat” itu sesungguhnya strategi CZ untuk menjatuhkan pesaingnya. Dakwaan itu dinafikan oleh CZ. Apakah yang akan anda lakukan andaikan anda CZ?
Yang boleh pasti, sejak pengumuman itu dibuat, ramai orang mula membuat spekulasi tentang kemampuan bayar (solvency) FTX dan Alameda. SBF mencuba untuk menenangkan pengguna FTX dan komuniti FTT dengan menyatakan bahawa syarikat itu menyimpan butiran kewangan yang telah diaudit dan mereka berada di bawah kawal selia yang ketat. Selain itu, dia turut mengatakan platform pertukaran itu tidak menghadapi sebarang masalah dengan proses deposit dan pengeluaran.
FTX meminta bantuan Binance
Pada tengah hari 9 November, CZ berkongsi satu berita yang pada masa itu boleh dikatakan pelampung nyawa kepada komuniti FTX and FTT. CEO Binance itu mengumumkan kemungkinan untuk Binance mengambil alih FTX selepas dihubungi oleh FTX untuk meminta bantuan mereka.
Walau bagaimanapun, plot yang baru nampak sinar harapan tadi ternyata sekadar ilusi yang tidak kekal lama.
Pada petang hari yang sama, CZ tiba-tiba meluahkan ketidakpuasannya terhadap FTX secara terbuka. Khususnya, beliau mencela penyalahgunaan dana pelanggan oleh FTX. Sebab di sebalik “pusingan U” itu barangkali boleh diagak menerusi apa yang akan diumumkan oleh Binance pada hari yang berikutnya. Binance mengumumkan secara rasmi bahawa bursa kripto terbesar itu tidak akan lagi mempertimbangkan pelan penyelamatan FTX itu “hasil daripada usaha wajar korporat, serta laporan berita terkini mengenai dana pelanggan yang disalah gunakan dan penyiasatan agensi AS“.
Peristiwa itu memuncak sehari selepas itu apabila usahawan dan jutawan muda itu mengumumkan dia telah memfailkan muflis untuk FTX, FTX US, dan Alameda. FTX.US ialah pertukaran mata wang kripto berpangkalan di AS yang berafiliasi dengan FTX dan berlesen untuk beroperasi di AS.
Walaupun pada masa itu komuniti mata wang kripto mungkin lebih kurang sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini, berita itu tetap berjaya mengejutkan komuniti kripto di seluruh dunia.
Sebenarnya, sebelum itu CEO FTX itu berkali-kali memberikan penjelasan dan alasannya tentang keadaan semasa dan punca yang mengakibatkan komplikasi yang dihadapi oleh mereka. Dia nampak ikhlas sehingga lebih banyak fakta tentang sisi gelap FTX didedahkan kemudian.
Pada 12 Disember 2022, pengasas syarikat yang muflis itu ditangkap oleh pihak berkuasa di Bahamas atas permintaan kerajaan AS. Dia kemudiannya diekstradisi kembali ke tanah air yang menanti kepulangannya dan bertekad untuk membawa suspek jenayah kewangan itu ke muka pengadilan.
Menurut kenyataan akhbar Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) negara itu, SBF didakwa mendalangi skim untuk menipu pelabur ekuiti dalam FTX Trading Ltd. (FTX), platform dagangan kripto yang berada di bawah pimpinannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama.
Selepas diekstradisi dari Bahamas, SBF dibebaskan dengan jaminan 250 juta dolar AS dan diarah kekal di bawah tahanan rumah di rumah ibu bapanya di Palo Alto, California.
Menurut dokumen mahkamah ini, SBF didakwa atas lapan pertuduhan.
- Konspirasi untuk melakukan penipuan wayar terhadap pelanggan (Conspiracy to commit wire fraud on customers)
- Penipuan wayar terhadap pelanggan (Wire fraud on customers)
- Konspirasi untuk melakukan penipuan wayar terhadap pemberi pinjaman (Conspiracy to commit wire fraud on lenders)
- Penipuan wayar terhadap pemberi pinjaman (Wire fraud on lenders)
- Konspirasi untuk melakukan penipuan komoditi (Conspiracy to commit commodities fraud)
- Konspirasi untuk melakukan penipuan sekuriti (Conspiracy to commit securities fraud)
- Konspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram (Conspiracy to commit money launderig)
- Konspirasi untuk menipu Amerika Syarikat dan melanggar Undang-undang Kewangan Kempen (Consipiracy to defraud the United States and violate the Campaign Finance Laws)
Khususnya, SBF didakwa menyalahgunakan deposit pelanggan dan menggunakan deposit itu untuk membayar perbelanjaan dan hutang Alameda Research, sebuah syarikat yang juga dimilikinya dan pada masa itu diketuai oleh bekas rakan sekerjanya di Jane Street, Caroline Ellison.
Caroline dan Gary Wang mengaku bersalah terhadap sebahagian pertuduhan. SBF, sebaliknya, enggan mengaku salah langsung. Setakat hari ini, kes mahkamah itu masih belum selesai dibicarakan.
Seperkara lagi, mengikut dokumen untuk kes mahkamah yang berasingan, Joe Bankman, bapa pengasas itu, pada mulanya dibayar gaji tahunan 200,000 dolar AS oleh FTX. Bagaimanapun, dia berasa tidak puas hati kerana dia “sepatutnya” diberikan 1 juta dolar AS setiap tahun. Berikutan itu, dia melobi kepada anaknya untuk menaikkan gajinya dan taktik itu ternyata berkesan.
Dua minggu selepas itu, orang tua SBF itu dihadiahkan 10 juta dolar AS, dana yang diambil daripada Alameda Research. Dalam tempoh tiga bulan, sekali lagi, pasangan itu menerima harta bernilai 16.4 juta dolar AS di Bahamas yang dibayar oleh FTX. Kesemua ini hanya merupakan sebahagian daripada tuduhan terhadap keluarga Bankman-Fried.
Percaya atau tidak percaya?
SBF mendakwa dia tidak tahu bagaimana rumah agamnya di Bahamas yang bernilai 16.4 juta dolar AS itu disenaraikan di bawah nama ibu bapanya, menegaskan bahawa ia sebenarnya bertujuan untuk digunakan untuk menempatkan kakitangan FTX. Rumah itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan besar-besaran yang berjumlah 121 juta dolar AS untuk hartanah mahal di pulau itu oleh FTX.
Tambahan pula, dia bertegas adalah “tepat secara fakta” (factually accurate) bahawa FTX tidak pernah melaburkan deposit pelanggan.
Mengikutnya, (selama ini) dia percaya (thought) Alameda mempunyai cagaran (collateral) yang mencukupi untuk menyokong pembayaran balik dana yang telah dipinjam oleh mereka daripada FTX.
Percaya atau tidak, kami serahkan itu kepada anda.
Dari perspektif kami, pasaran beruang turut berkebolehan untuk menyingkirkan projek kripto yang lemah dan yang mungkin berunsur penipuan. Kebankrapan FTX seharusnya dijadikan peringatan tentang betapa pentingnya ketelusan, akauntabiliti dan kawal selia dalam ruang mata wang kripto, dan bukannya dimanipulasikan untuk memotret mata wang kripto sebagai satu lagi skim ponzi baru. Kita hendaklah bersetuju bahawa ketamakan dan inovasi sudah tentu akan membawa kepada hasil yang sangat berbeza pada penghujung hari.
Dalam apa jua keadaan, kita tetap yakin bahawa industri ini mesti akan muncul lebih kukuh pada masa depan yang dekat.