Menurut blog Coinbase, iaitu pertukaran mata wang kripto yang terbesar di Amerika Syarikat mengikut volum dagangan, negara itu sudah mempunyai 52 juta pemilik kripto pada hari ini. Statistik yang sama juga dapat diperhatikan dalam laman web StandWithCrypto.org, gerakan yang menyokong penerimagunaan mata wang kripto dan teknologi blok rantai secara besar-besaran.
Blog Coinbase tersebut menyeru komuniti yang berjumlah lebih ramai daripada populasi negara kita itu bangkit dan berjuang untuk menyokong perubahan demi kripto.
Kira-kira sembilan daripada sepuluh orang rakyat Amerika Syarikat percaya sudah tiba masanya untuk “mengemas kini” sistem kewangan, tetapi perkembangan itu diperlahankan akibat penentangan daripada mereka yang berkuasa dan mahu mengekalkan sistem kewangan lapuk yang mengehadkan kebebasan ekonomi dan peluang.
Coinbase menyeru komuniti kripto yang mengambil berat tentang kripto meluangkan masa untuk membuat panggilan telefon kepada ahli kongres mereka dan meminta mereka meluluskan undang-undang kripto yang bukan sahaja jelas tetapi juga masuk akal.
Pada awal tahun ini, Coinbase telah menjalankan penyelidikan untuk memahami pendirian rakyat Amerika terhadap sistem kewangan sedia ada. Penyelidikan itu mendapati bahawa kebanyakan orang ramai inginkan perubahan. Hampir sembilan daripada sepuluh orang (87%) rakyat Amerika percaya sistem kewangan perlu diubah dan separuh (51%) rakyat Amerika percaya bahawa sistem kewangan Amerika tidak berfungsi secara adil untuk semua orang. Kebanyakan mereka berpendapat sistem ini memberi manfaat kepada semua orang kecuali golongan seperti mereka sendiri. Tambahan pula, hanya 14% yang optimis tentang masa depan sistem kewangan.
Dalam blog itu, Coinbase juga memetik beberapa penemuan daripada sumber-sumber lain. Penemuan-penemuan ini termasuk:
a) 63% daripada pemilik kripto bersetuju bahawa sistem, secara tidak adil, memihak kepada “kepentingan yang berkuasa” (powerful interests).
b) Di negeri-negeri peneraju (bellwether states) seperti Nevada, Ohio dan Pennsylvania, lebih daripada 40% daripada pengundi yang memiliki aset digital berkata mereka berbuat demikian (iaitu memiliki aset digital) kerana ia membolehkan mereka menghantar wang merentasi sempadan. Sebagai contoh, imigran negara itu boleh menghantar wang kepada keluarga mereka di kampung halaman tanpa perlu menggunakan perkhidmatan kewangan tradisional seperti bank, yang selalunya tidak tersedia untuk mereka yang mempunyai akses perbankan yang terhad (unbanked) atau yang mengenakan caj yang tinggi.
c) 72% daripada golongan yang berumur antara 18-34 tahun percaya “kripto memberikan mereka kawalan langsung ke atas wang mereka sendiri” dan 74% (Nota editorial KH: 72% mengikut blog Coinbase tetapi 74% mengikut sumber asal) bersetuju bahawa “aset digital ialah masa depan kewangan“
d) Di negeri New Hampshire (NH), Nevada (NV), Ohio (OH), dan Pennylvania (PA), lebih separuh (55%) daripada pengundi menyatakan adalah kurang berkemungkinan untuk mereka mengundi calon yang menentang kripto dan Web3.
e) Daripada 52 juta orang Amerika yang memiliki kripto, 75% mempunyai pendapatan kurang daripada 100k dolar AS dan 60% daripada mereka ialah generasi Z atau milenial.
Coinbase meminta lebih daripada 52 juta pemilik dan penyokong kripto di negara itu bersuara untuk mendukung kripto. Pakatan Stand with Crypto akan menerajui usaha itu melalui kempen selama 14 bulan yang merangkumi tiga elemen berikut:
a) Memanfaatkan platform Coinbase untuk menggerakkan pemilik kripto menjadi pendukung kripto yang masing-masing memberi tumpuan kepada isu tertentu mengenai kripto (single issue crypto advocates).
b) Kempen media berbayar, seperti iklan, yang komprehensif merentas semua platform.
c) Menganjurkan acara di sembilan negeri yang utama yang mempunyai bilangan pemilik kripto yang ramai.
Sumber foto: Coinbase.com.