Andaikan anda bukan orang baru dalam dunia mata wang kripto, anda mesti pernah mendengar tentang FTX dan “kisah gelap“ tentang platform pertukaran kripto itu. Baru-baru ini, pada 13 September, bursa kripto Huobi mengumumkan strategi penjenamaan yang baharu (refreshed branding strategy). Bursa itu akan mempunyai nama yang baru, iaitu HTX. Kami tidak pasti motivasi di sebalik keputusan korporat itu. Yang boleh kita pasti, nama baru ini telah mengingatkan komuniti kripto tentang FTX. Sebenarnya, setahu kami, sebelum ini Huobi pernah juga menjenamakan semula nama versi Cina platform itu daripada 火币 (syiling api) kepada 火必 (kombinasi perkataan “api” dan “perlu”).
Huobi diasaskan pada 2013 oleh Leon Li, seorang alumnus Universiti Tsinghua (China). Li ialah seorang jurutera komputer di syarikat Oracle sebelum mengasaskan bursa kripto itu. Pada tahun 2017, kerajaan China bertindak keras terhadap mata wang kripto dengan mengharamkan tawaran syiling permulaan (Initial Coin Offering, ICO) dan lebih teruk lagi, perdagangan di bursa mata wang kripto domestik turut diharamkan sama sekali.
Berikutan itu, Huobi membuat keputusan strategik untuk beroperasi di luar negara China, termasuk Korea Selatan, Singapura, dan Jepun.
Huobi di Malaysia.
Pada 22 Mei yang lepas, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengambil tindakan terhadap Huobi Global Limited, dan Ketua Pegawai Eksekutif Leon Li kerana mengendalikan pertukaran/bursa aset digital (Digital Asset Exchange, DAX) di Malaysia tanpa lesen.
Sehubungan itu, SC telah mengeluarkan teguran awam terhadap Huobi Global Limited dan Leon Li kerana beroperasi secara haram di Malaysia.
Di samping itu, SC telah mengarahkan Huobi Global Limited menghentikan operasi di negara ini, termasuk menutupkan laman web dan aplikasi mudah alih yang boleh didapati melalui platform seperti Apple Store, Google Play dan mana-mana platform aplikasi digital lain.
Huobi Global Limited juga telah diarahkan untuk menghentikan pengedaran, penerbitan atau penghantaran sebarang iklan, sama ada melalui e-mel atau dalam platform media sosial, kepada pelabur Malaysia.
Leon Li, sebagai CEO, juga telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan arahan di atas dilaksanakan.
Keputusan ini dibuat atas sebab kebimbangan mengenai pematuhan platform itu terhadap keperluan kawal selia tempatan dan untuk melindungi kepentingan pelabur. SC memandang serius pelanggaran ini kerana mengendalikan DAX tanpa mendaftar dengan SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (Registered Market Operator, RMO) terlebih dahulu ialah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Huobi di Wilayah Persekutuan Labuan?
Menurut laporan Cointelegraph yang bertarikh 27 November 2020, Huobi melancarkan bursa kripto terkawal di negara kita melalui Huobi Labuan. Laporan Cointelegraph itu turut menyatakan bahawa Huobi Labuan menyasarkan pasaran Malaysia dan platform baharu itu akan dapat menawarkan perdagangan spot dan derivatif kripto termasuk Bitcoin dan Ether untuk tempoh percubaan sembilan bulan yang pertama.
Beberapa hari kemudian, Huobi Labuan mengeluarkan pengumuman rasmi melalui akaun Facebook mereka yang menyatakan bahawa “beberapa kandungan yang dinyatakan atau diterbitkan dalam portal berita dalam talian tertentu sebelum ini adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang ramai.”


Secara khusus, Huobi Labuan menjelaskan bahawa:
a) Huobi Labuan ialah broker wang berlesen yang diluluskan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan Financial Services Authority, LFSA) untuk menjalankan perniagaan pembrokeran wang seperti yang ditetapkan oleh perundangan yang berkenaan dan di bawah lesen yang diberikan kepadanya.
b) Huobi Labuan tidak dibenarkan dan tidak akan menjalankan perniagaan di onshore Malaysia mahupun dibenarkan untuk mencari (solicit) (pelanggan) warganegara Malaysia. Oleh itu, kenyataan yang berniat (purportedly) untuk memberi gambaran kepada orang ramai bahawa Huobi Labuan menyasarkan pasaran Malaysia adalah tidak tepat.
c) Kenyataan yang bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai bahawa Huobi Labuan telah menjalani tempoh percubaan selama sembilan bulan untuk dilesenkan adalah palsu dan tidak tepat.




Tangkapan skrin laman web rasmi Huobi Labuan yang diakses pada 26 September 2023.
Apakah makna tersirat HTX?
Menurut penjelasan HTX, “H” bermaksud Huobi, “T” mewakili TRON dan “X” bermaksud pertukaran/bursa (exchange/Xchange).
TRON ialah blok rantai atau ekosistem yang diasaskan oleh Justin Sun, yang mempersembahkan dirinya sebagai Penasihat (Advisor) untuk HTX. Walau bagaimanapun, ada juga yang membuat spekulasi bahawa usahawan muda yang berusia 33 tahun itu ialah “bos sebenar” untuk HTX. Ini adalah kerana warganegara Grenada yang dilahirkan di negara China itu dilaporkan membayar kira-kira AS$1 bilion untuk memperoleh pegangan kawalan (controlling stake) dalam Huobi melalui pengurus aset yang berpangkalan di Hong Kong, About Capital, pada November 2022. Laporan itu kemudiannya dinafikan oleh Justin.
Blok rantai TRON mempunyai token asli yang dikenali sebagai Tronix (TRX) yang boleh didagangkan. Bursa yang sebelum ini dikenali sebagai Huobi itu turut mempunyai tokennya sendiri, HT (Huobi Token), kombinasi abjad yang dapat diperhatikan dalam nama baru bursa itu, HTX.
Oleh itu, HTX boleh ditafsirkan sebagai “pertukaran dengan token asli HT”.
Tambahan pula, X ialah angka Rom untuk nombor 10 bersempena dengan ulang tahun ke-10 HTX. Ia melambangkan era baharu untuk platform ini dengan sinergi HTX, TRON, dan Poloniex, sebuah pertukaran mata wang kripto yang dilabur oleh Justin Sun mengikut laporan Cointelegraph ini.
Mereke juga memperkenalkan slogan yang baharu – “HTX, Just Trade It” atau “HTX, Dagang Saja”.

Justin Sun, pengasas blok rantai TRON dan Penasihat untuk HTX mewakili negaranya Grenada semasa persidangan 12th Ministerial Conference (MC12) di Geneva. Sumber foto: X.com.
Mari kita bercerita tentang insiden penggodaman HTX itu.
Dua hari yang lalu, pada 25 September, Justin Sun berkongsi berita melalui akaun sosial medianya tentang insiden serangan penggodam terhadap HTX yang mengakibatkan kerugian 5000 ETH (AS$ 8 juta). HTX telah “mengisi balik” aset yang dicuri dengan menggunakan dana mereka sendiri dan menyeru penggodam mengembalikan aset pelanggan HTX dalam masa tujuh hari. Jika tidak, bursa itu akan bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyaman penggodam.
Insiden itu dikesan pada jam 6 petang mengikut waktu Singapura sehari sebelum berita itu diumumkan. Alamat penggodam telah dikenal pasti seperti berikut:
0xdb1D74467c9042517A354304256E0d658D8AEC83, dan
0x799982b75Ba538F211871cBa50Fa1A42ADa9ab5E
Jika penggodam mengembalikan aset yang dicuri dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan ditawarkan 5% daripada jumlah yang dicuri (AS$ 400,000) sebagai ganjaran “topi putih” (white hat) dan mereka juga akan diupah sebagai penasihat topi putih keselamatan untuk HTX.