Robert Kiyosaki yang terkenal dengan karyanya Rich Dad Poor Dad (Ayah Kaya Ayah Miskin), secara terbuka, mengatakan negaranya sudah kehabisan wang (broke) dan menggesa orang ramai untuk membeli “GSBC” hari ini sebelum pasaran saham, bon, dan hartanah jatuh dan seterusnya mendorong orang ramai membeli “GSBC” dalam keadaan tergesa-gesa.
Nah, apakah sebenarnya GSBC? Menurut Tweet pengarang yang popular itu, dia sering kali ditanya soalan “Apakah harga emas, perak, atau Bitcoin pada 2025?” Jawapan yang diberikannya, soalan itu soalan yang bodoh. Mengikutnya, sebenarnya soalan yang lebih penting ialah “berapa banyak emas, perak, dan Bitcoin yang anda ada HARI INI?”
Dia berpendapat bahawa harga aset-aset yang disebutnya itu adalah sangat murah pada hari ini tetapi tiada siapa yang dapat menjanjikan keadaan yang sama pada hari esok. Amerika sudah pokai dan lebih baik kita beli GSBC hari ini. Berdasarkan konteks Tweet tersebut, berkemungkinan besar GSBC yang disebut olehnya merujuk kepada emas (Gold), perak (Silver) dan Bitcoin (BC).

Ada yang tertanya-tanya adakah mungkin “C” itu merujuk kepada benda yang lain, seperti Cash iaitu tunai. Komuniti Cardano, sebaliknya bergurau bahawa tiada yang lain, “C” itu semestinya merujuk kepada Cardano. Walau bagaimanapun, adalah lebih masuk akal bagi kita bahawa Kiyosaki menggunakan “BC” untuk Bitcoin. Ini adalah kerana pengarang itu sekali lagi menggunakan singkatan BC dalam Tweetnya beberapa hari kemudian pada 26 September yang bermula dengan ayat “BYE BYE Bitcoin & US Dollar?” dan tamat dengan “Bye bye BC & US$?”
Dengan membandingkan kedua-duanya, nampak jelas kepada kami bahawa Encik Kiyosaki sama ada secara tidak langsung memberitahu semua orang bahawa singkatan BC yang digunakannya dalam Tweet sebelum itu bermaksud Bitcoin atau ia hanya sekadar tabiat menulisnya.

Guru kewangan yang kontroversial.
Robert Kiyosaki ialah seorang “guru kewangan” yang mempunyai peminat dan pembencinya. Bukunya “Rich Dad Poor Dad” yang menggalakkan pelaburan dalam pasaran hartanah dianggap kitab untuk ramai “guru-guru pelaburan” di negara kita dan jiran kita Singapura. Pada masa yang sama, ada juga yang menganggapnya seorang “guru palsu” dan hipokrit.
Adakah anda sedar bahawa “pakar kewangan” itu yang dahulunya menggalakkan orang ramai melabur dalam pasaran hartanah kini sebaliknya memberitahu orang ramai untuk mengelakkan pasaran yang sama melalui Tweetnya itu? Barangkali keadaan pasaran sudah berubah dan dia hanya menyesuaikan diri dengan trend terkini. Adakah mungkin dia telah menemui permata baru yang lebih baik daripada hartanah? Bagaimana dengan mereka yang masih membaca bukunya sekarang tanpa menyedari guru mereka telah berubah fikiran? Apakah pendapat anda tentang ini?