Jika anda sudah lama mengikuti dunia mata wang kripto, anda pasti pernah mendengar tentang Etherscan, bukan? Jika anda orang baru, izinkan kami memperkenalkan kepada anda salah satu pelayar blok rantai (blockchain explorer) yang paling popular dalam dunia kripto. Malah, tidak keterlaluan bagi kami untuk mengatakan bahawa pelayar ini merupakan pelayar yang terkemuka dan paling dipercayai untuk komuniti blok rantai Ethereum.
Soalannya, tahukah anda bahawa Etherscan ialah sebuah produk buatan Malaysia? Semoga artikel kami ini yang didedikasikan khas kepada Etherscan dapat memotivasikan lebih ramai usahawan tempatan yang berbakat untuk bangkit, membina, dan membanggakan lagi tanah air kita dalam landskap mata wang kripto antarabangsa.
Seperti yang disebut di atas, Etherscan, dengan laman web rasmi etherscan.io merupakan pelayar blok rantai (blockchain explorer). Ia pada asasnya ialah sebuah enjin carian (search engine) yang membolehkan pengguna blok rantai mencari, mengesahkan (confirm) dan mensahihkan (validate) transaksi yang dilaksanakan melalui platform kontrak pintar terdesentralisasi Ethereum. Anda boleh membayangkan pelayar blok rantai sebagai versi “Google” untuk tujuan mata wang kripto. Lebih spesifik lagi, ia berfungsi lebih kurang sama dengan fungsi carian akaun pengguna bank anda yang membolehkan anda mencari butiran transaksi-transaksi yang melibatkan akaun bank anda itu.
Blok rantai ialah sebuah buku lejar awam dalam talian yang dapat diakses oleh sesiapa sahaja secara terbuka. Oleh itu, berbeza dengan fungsi carian akaun pengguna bank anda, dengan menggunakan pelayar blok rantai anda boleh menyemak dan meneliti semua transaksi yang direkodkan dalam blok rantai yang berkenaan termasuk transaksi yang melibatkan akaun orang lain.
Seperti yang sudah jelas dicadangkan oleh namanya, etherscan.io ialah pelayar untuk blok rantai Ethereum. Dibina dan dilancarkan pada 2015, Etherscan ialah salah satu projek bebas yang terawal untuk Ethereum dan komunitinya dengan misi menyediakan akses saksama kepada data blok rantai.
Pengasas pelayar blok rantai ini bernama Matthew Tan, yang juga selaku CEO kepada pasukan yang terdiri lebih daripada 30 orang bakat kripto tempatan yang berbilang kaum.
Sumber foto: Etherscan.io.
Jika anda mencari pelayar blok rantai Ethereum yang terbaik, maka anda mungkin akan menemui nama Etherscan. Ia sebenarnya adalah yang original dan yang paling penting sekali, pelayar terbaik untuk blok rantai Ethereum.
If you search for the best Ethereum blockchain explorer, then you are likely to come across the name Etherscan. It is actually the original and, most important of all, the best block explorer for the Ethereum blockchain.
Source: 101blockchains.com
Tambahan pula, Etherscan juga berada di kedudukan teratas senarai pelayar blok rantai yang boleh dijumpai dalam laman web rasmi blok rantai Ethereum. Ini seolah-olah satu petunjuk bahawa Etherscan berkemungkinan besar pelayar blok rantai yang paling popular di kalangan komuniti Ethereum.
Pencapaian Etherscan.io sebagai salah satu pelayar blok rantai terunggul di dunia sesungguhnya sebuah kisah yang memberi inspirasi kepada komuniti Malaysia dan diharapkan akan dapat memberi dorongan kepada usahawan tempatan untuk terus berusaha dan memperkukuh keyakinan bahawa kita, sebagai rakyat Malaysia, turut mempunyai potensi untuk mencapai matlamat yang kita tetapkan di pentas dunia.