Sarawak, yang terletak di pulau yang ketiga terbesar di dunia, Borneo telah dikenal pasti oleh sebuah syarikat Singapura sebagai destinasi yang sesuai untuk menjalankan perlombongan (mining) Bitcoin. Perlombongan, dalam konteks blok rantai, khususnya Bitcoin, merujuk kepada proses yang membentuk blok data yang baru untuk merekodkan butiran transaksi mata wang kripto dan ialah proses yang diperlukan untuk blok rantai jenis bukti kerja (proof of work) berfungsi secara normal.
Pelombong yang berjaya membentuk blok data yang baru akan menerima Bitcoin sebagai ganjaran. Aktiviti perlombongan ialah perniagaan yang amat menarik bagi ramai orang kerana didorong oleh harga Bitcoin yang tinggi. Namun demikian, perlombongan memerlukan kuasa pengkomputeran yang tinggi dan sewajarnya akan menggunakan banyak elektrik.
SMI Vantage Limited, sebuah syarikat yang disenaraikan di papan utama Bursa Singapura (SGX) mengumumkan anak syarikat korporat itu, SMI CS Pte Ltd, telah menandatangani Perjanjian Tawaran untuk Sewa (Offer to Rent Agreement) yang membenarkan syarikat itu menjalankan operasi perlombongan Bitcoin di Malaysia Timur, Sarawak.
Pada September 2022, SMI Vantage dan Sovereign Systemtechnik (Sarawak) Sdn Bhd (SOVSYSTEK) memeterai Perjanjian Perkongsian Strategik (Strategic Partnership Agreement). Perjanjian ini menandakan kerjasama rasmi antara kedua-dua entiti itu untuk meneroka dan menilai pelbagai peluang perniagaan. Menurut pemahaman kami, perjanjian tentang perlombangan tersebut direalisasikan atas nasihat SOVSYSTEK.
Mengikut laman web SOVSYSTEK, syarikat itu ditubuhkan melalui Usaha Sama (Joint Venture) antara syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak Permodalan ASSAR Sdn Bhd dan Sovereign Sengalang Sdn Bhd.
Kumpulan ASSAR (Amanah Saham Sarawak Berhad) diketuai oleh Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB), sebuah syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan (state-owned investment holding company) dengan portfolio pelaburan dalam pelbagai industri termasuk perkhidmatan kewangan, pertanian, sumber semula jadi, hartanah, dan perdagangan.
SMI Vantage akan melengkapi fasiliti perlombongan tersebut dengan mesin perlombongan Bitcoin berteknologi terkini yang dipasang di dalam “kontena” (containerised shell). Syarikat itu percaya mesin baharu ini berserta dengan kos elektrik yang lebih rendah akan membolehkan syarikat itu melombong Bitcoin dengan lebih efektif dari segi kos.
SMI Vantage dijangka akan memulakan proses pemasangan pelantar perlombongan kontena (containerised mining rig) yang pertama pada suku ketiga tahun ini (2023). Sejumlah dua pelantar akan dipasangkan.
Tangkapan skrin laman web SMI Vantage yang menunjukkan Presiden dan CEO Mark Bedingham.