Penyimpanan data (data storage) di angkasa lepas merujuk kepada amalan penyimpanan data atau maklumat di luar angkasa, seperti di Bulan. Amalan ini memberikan tahap keselamatan yang amat tinggi kepada data dan maklumat. Ini adalah kerana persekitaran di luar angkasa terlindung daripada ancaman yang sering kita hidapi di Bumi, seperti bencana alam atau aktiviti manusia yang berpotensi merosakkan data.
Dengan menyimpan data di luar angkasa, risiko kehilangan data akibat bencana di mana-mana tempat di Bumi boleh dikurangkan. Data berkenaan boleh diakses dari pelbagai lokasi yang berbeza. Penyimpanan data di ruang angkasa membolehkan kita menyimpan data yang penting untuk generasi akan datang dan boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan atau mendokumentasikan sejarah tamadun dunia.
Digital Isle of Man bekerjasama dengan Lonestar, sebuah syarikat storan angkasa, untuk meneroka ruang angkasa lepas, khususnya satu-satunya satelit semula jadi Bumi kita, Bulan, sebagai storan selamat (secure storage) dan lokasi pemulihan bencana (disaster recovery location).
Isle of Man, atau Pulau Man ialah antara tiga wilayah yang berada di bawah Mahkota British. Wilayah-wilayah ini mempunyai kerajaan sendiri tetapi masih berkait rapat dengan takhta British dan tunduk kepada beberapa aspek pentadbiran bersama.
Sebagai Agensi Eksekutif (Executive Agency) di bawah Jabatan Perusahaan (Department for Enterprise) untuk Kerajaan Isle of Man, Digital Isle of Man ialah entiti perkongsian awam/swasta yang berperanan sebagai pembuat keputusan dan badan penasihat utama untuk perihal berkaitan dengan kemakmuran ekonomi sektor teknologi di Wilayah Tanggungan Mahkota (Crown Dependencies) itu.
Lonestar Data Holdings Inc yang beribu pejabat di Florida (AS) dan mempunyai operasi di Isle of Man bertanggungjawab menghantar setem digital Isle of Man ke angkasa lepas dan menjejaki kepulangannya ke Bumi. Eksperimen ini pada prinsipnya bertujuan untuk meneroka bagaimana data boleh disimpan di Bulan dan dipulihkan sekiranya berlaku malapetaka di Bumi.
Misi untuk melancarkan modul muatan (payload) yang mengandungi setem digital itu ke Bulan akan memerlukan Perkhidmatan Lunar Payload Komersial NASA (Commercial Lunar Payload Services).
Dengan kerjasama Pejabat Pos Isle of Man, Digital Isle of Man memanfaatkan kepakaran industri blok rantai di pulau itu untuk mendigitalkan setem eksklusif yang akan diposkan ke Bulan dan kemudiannya diterima balik di Bumi melalui Pusat Data Lunar Lonestar.
Imej di atas menunjukkan setem digital pertama yang pernah digunakan oleh Pejabat Pos Isle of Man, yang menampilkan versi berbeza bendera Triskelion yang terkenal. Kami tidak pasti sama ada setem ini setem yang akan didigitalkan untuk tujuan eksperimen tersebut.
Menurut Digital Isle of Man, eksperimen ini akan membolehkan mereka memahami data moden, keupayaan blok rantai dan juga cara mereka mengendalikan keselamatan data.
Ketua Pegawai Eksekutif Lonestar Chris Stott berkata:
‘Saya berasa sangat beruntung kerana dapat menjalankan misi ini dari rumah saya, terutamanya kerana saya dibesarkan di Isle of Man. Kami tidak akan dapat melakukannya tanpa sokongan Pulau ini dan komitmen unik Pulau ini terhadap pemulihan bencana, eksplorasi angkasa, dan ekonomi digital global.’