Srettha Thavisin, seorang ahli politik yang baru-baru ini dipilih menjadi Perdana Menteri Thailand ialah seorang yang pro-kripto, sekurang-kurangnya mengikut laporan Yahoo Finance. Semasa kempen politik beliau, Thavisin mencadangkan airdrop nasional untuk rakyat, berjanji untuk memberi setiap rakyat (berumur 16 tahun ke atas) 10,000 Baht Thai (kira-kira ~RM 1300) dalam mata wang digital jika partinya, Pheu Thai, memenangi pilihan raya. Wang itu perlu dibelanjakan dalam 4 kilometer radius komuniti dalam masa enam bulan.
Pelantikan Srettha sebagai Perdana Menteri dilihat sebagai petanda positif untuk masa depan mata wang kripto di negara jiran kita ini. Sebelum mengambil bahagian dalam politik, Srettha merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pemaju hartanah Sansiri (SIRI), sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Thailand (The Stock Exchange of Thailand – SET).
Menurut Bangkok Post, Sansiri, di bawah kepimpinan Srettha, membeli 15% pegangan dalam XSpring Capital (XPG) pada Februari 2021. XPG berwawasan untuk menjadi firma sekuriti tradisional pertama yang memasuki perniagaan digital, merapatkan pasaran kewangan lama dan baharu.
XPG ialah syarikat induk kepada XSpring Digital, sebuah platform yang diasaskan pada tahun 2018 dan memegang lesen untuk mengendalikan perkhidmatan broker aset digital (digital asset broker) dan pengedar aset digital (digital asset dealer) oleh Kementerian Kewangan di Thailand dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa negara itu.
Setakat hari ini, XSpring Digital menawarkan 45 aset digital untuk didagang melalui platform mereka dengan menggunakan wang sah negara itu, Baht. Aset digital ini termasuk BTC, ETH, USDT, DOGE, XLM, GALA, HBAR, MATIC, ADA, GRT, CRO, LINK, ALGO, MANA, IMX, LRC, ZRX, SOL, EOS, OP, SAND, BAT, DOT, ENJ, XTZ, AVAX, USDC, CRV, SNX, NEAR, DAI, UNI, ATOM, GLM, 1INCH, AAVE, BCH, QNT, AXS, CVX, KSM, MKR, YFI, LDO, dan APE.
Jumlah ini jauh lebih banyak daripada jumlah aset yang ditawarkan di bursa kripto berlesen di negara kita pada hari ini.
MX Exchange (4): BTC, XRP, ETH, SOL
Sinegy (2): BTC, ETH
Tokenize (7): BTC, ETH, BCH, LTC, SOL, UNI, XRP
Luno (11): BTC, ETH, ADA, UNI, AVAX, BCH, LINK, LTC, MATIC, SOL, XRP
Hata (1): USDT (belum lagi dapat berdagang dengan Ringgit.)
Pada Julai tahun yang sama (2021), Bangkok Post melaporkan bahawa Sansiri bekerjasama dengan XSpring Digital untuk menerima mata wang kripto sebagai bayaran untuk projek perumahan gergasi hartanah itu. Mata wang digital yang boleh digunakan termasuk Bitcoin (BTC), Ether (ETH), USDC dan USDT.
“Kekuatan Sansiri ialah ia merupakan penyumbang pendapatan tertinggi dalam pasaran hartanah dengan kutipan 34.7 bilion baht menerusi pembangunan projek bernilai 100 bilion baht dan mempunyai lebih daripada 100,000 orang pelanggan dalam pangkalan data kami”, kata Srettha Thavisin, presiden dan ketua eksekutif Sansiri pada masa itu, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Thailand pada hari ini.
XSpring Digital juga mengambil bahagian dalam Tawaran Syiling Permulaan (Initial Coin Offering, ICO) SiriHub Investment Token. Mengikut pengeluar token pelaburan ini iaitu SPV77, token ini disokong dengan hartanah di Thailand dan akan membolehkan pelabur memperoleh hasil yang stabil.
Aset hartanah di sebalik token ini ialah Kampus SIRI (SIRI Campus) dan mengikut SPV77, mempunyai aliran tunai yang stabil yang dihasilkan daripada perjanjian pajakan jangka panjang dengan Sansiri Public Company Limited.
Menurut laman web XSpring Digital, Kampus SIRI ialah bangunan pejabat jenis baharu dan juga ibu pejabat kepada Sansiri Public Company Limited, penyewa dengan pajakan jangka panjang selama 12 tahun.
Token SiriHub pada mulanya akan ditawarkan di pasaran utama oleh XSpring Digital Company Limited.
Memandangkan penglibatan masa lalu Perdana Menteri Srettha dengan Sansiri dan XSpring, komuniti mata wang kripto berkecenderungan untuk menjangka masa depan yang optimistik untuk mata wang kripto di Thailand.