Adakah kereta idaman anda Ferrari? Anda sudah boleh menggunakan mata wang kripto untuk membeli kereta Ferrari di AS.

Bermula serta-merta, pengedar Ferrari di Amerika Syarikat akan menerima pembayaran mata wang kripto melalui penyedia perkhidmatan pembayaran, BitPay. Pelanggan yang membeli supercar baharu mereka akan dapat membayar dalam tiga mata wang kripto, iaitu Bitcoin (BTC), Ether (ETH) dan USDC. Ferrari tidak akan mengenakan sebarang bayaran tambahan atau “markup” untuk pelanggan yang membayar dalam mata wang kripto tersebut.

Mengikut pemerhatian BitPay, sebenarnya ramai orang bersedia untuk membeli barangan atau perkhidmatan mewah dengan mata wang kripto, termasuk kereta, jam tangan, barang kemas, berlian, dan juga hartanah. Pelanggan kripto mahukan fleksibiliti untuk membayar tanpa bergantung kepada akaun bank atau kad kredit, dan Ferrari pastinya memahami keinginan ini.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komersial Ferrari Enrico Galliera memberitahu Reuters bahawa industri mata wang kripto telah berusaha untuk mengurangkan jejak karbon mereka melalui perisian baharu dan penggunaan sumber boleh diperbaharui.

Beliau berkata “Sasaran kami untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030 dalam rantaian nilai (value chain) kami telah disahkan sepenuhnya”.

Keputusan itu dibuat berikutan permintaan daripada pasaran dan peniaga Ferrari kerana ramai pelanggan mereka ialah pelabur kripto.

“Sebahagian daripada mereka ialah pelabur muda yang telah membina kekayaan mereka melalui mata wang kripto. Sesetengah yang lain merupakan pelabur yang lebih tradisional dan ingin mempelbagaikan portfolio mereka.” kata wakil Ferrari itu.

Beliau turut memaklumkan Reuters bahawa pengeluar kereta mewah itu akan melanjutkan skim itu ke Eropah berikutan permintaan daripada pelanggan kaya mereka.

Ferrari menghantar lebih 1,800 kereta ke rantau Amerika, termasuk AS, dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurut Reuters, Enrico tidak menyatakan berapa banyak kereta yang dijangka akan dijual oleh Ferrari melalui kripto. Bagaimanapun, beliau berkata portfolio pesanan syarikat itu kekal kukuh dan sudah ditempah sepenuhnya sehingga tahun 2025. Syarikat itu berhasrat untuk menguji alam semesta kripto yang semakin berkembang ini melalui kerjasama dengan BitPay ini.

“Ini akan membantu kami berhubung dengan orang yang tidak semestinya pelanggan kami tetapi mungkin mampu membeli Ferrari” katanya.

Sebilangan besar syarikat cip biru mengelak daripada menerima kripto sebagai pembayaran kerana ketidaktentuan harga bitcoin dan token lain yang menjadikan aset kripto tidak praktikal untuk perdagangan pada hari ini. Selain itu, kawal selia dan penggunaan tenaga yang tinggi juga telah menghalang penerimagunaan mata wang kripto sebagai medium pembayaran.

Sebagai contoh, pegeluar kereta elektrik Tesla membuat keputusan untuk menerima pembayaran dalam bitcoin pada tahun 2021 tetapi CEO mereka Elon Musk menghentikan program itu tidak lama kemudian.

Sebenarnya Elon Musk terkenal sebagai seorang penyokong Dogecoin di kalangan komuniti kripto. Sekali-sekala, beliau akan Tweet mesej yang membayangkan sokongannya terhadap memecoin itu. 

Pada 14 Disember tahun yang sama, CEO itu Tweet lagi sebuah mesej yang mengesahkan pelan Tesla untuk membolehkan pembelian barang dagangan mereka dengan menggunakan Dogecoin. Bos pengeluar kereta elektrik yang terbesar di dunia itu jelasnya tidak bersedia untuk mengecewakan komuniti kripto kesayangannya.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?