Jenayah kripto turun 65% setakat Jun 2023 manakala kegiatan perisian tebusan meningkat mengikut kajian Chainalysis.

Chainalysis, sebuah platform data blok rantai yang menyediakan data, perisian, perkhidmatan dan penyelidikan kepada agensi kerajaan, bursa, institusi kewangan dan syarikat insurans berpendapat sehingga penghujung bulan Jun yang lalu, aliran masuk (inflows) mata wang kripto ke entiti haram yang sudah diketahui (tidak termasuk aliran masuk ke entiti yang telah disekat) telah turun 65% berbanding dengan tempoh masa yang sama pada tahun 2022.

Aliran masuk mata wang kripto ke entiti yang berisiko, terutamanya terdiri daripada mixer (perkhidmatan campuran dana) dan pertukaran berisiko tinggi telah turun 42%.

Sehingga Jun yang lepas, jumlah dana yang diterima ke dalam alamat kripto yang haram telah berkurangan sebanyak AS$3.3 bilion (kira-kira RM15.7 bilion). Kegiatan perisian tebusan (ransomware), sebaliknya merupakan satu-satunya kategori jenayah kripto yang semakin berleluasa. Jumlah kategori ini meningkat sebanyak AS$175.8 juta (kira-kira RM841.6 juta) berbanding dengan tahun lepas.

Perisian tebusan atau lebih dikenali sebagai ransomware ialah sejenis perisian yang direka untuk menyekat akses kepada sistem komputer, fail atau data sehingga sejumlah wang, atau “tebusan,” dibayar kepada penyerang.

Sumber: Chainalysis.com.

Sebenarnya mengiku Laporan Jenayah Kripto (Crypto Crime Report) yang diterbitkan pada bulan Februari yang lepas, Chainalysis melaporkan bahawa pendapatan perisian tebusan pada tahun 2022 telah menjunam dengan ketara berbanding dengan 2021. Soalannya, apakah yang kemudiannya mengakibatkan peningkatan jumlah pendapatan kategori itu pada tahun ini?

Sumber: Chainalysis.com.

Menurut Chainalysis, organisasi yang mempunyai sumber kewangan yang besar telah menjadi sasaran sindiket perisian tebusan dan inilah yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan sindiket perisian tebusan pada tahun ini. Tambahan pula, pada masa yang sama, bilangan serangan kecil yang berjaya juga didapati telah meningkat.

Kecuali kegiatan perisian tebusan, data Chainalysis menunjukkan bahawa jenayah kripto secara keseluruhannya telah turun dengan mendadak pada tahun 2023. Ini menunjukkan bahawa usaha sektor swasta dan awam membuahkan hasil.

Penguatkuasaan undang-undang dan langkah keselamatan industri kripto, khususnya protokol Kewangan Tanpa Pusat (Decentralized Finance, DeFi) jelasnya berkesan untuk mencegah jenayah kripto. Walau bagaimanapun, jenayah kripto yang berkaitan dengan ransomware sesungguhnya sesuatu yang merisaukan dan menunjukkan keperluan untuk terus berwaspada.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?