Sejak tahun 2022, bandar Lugano di Switzerland yang mempunyai 63,000 orang penduduk sudah menerima mata wang kripto Bitcoin (BTC), USDT dan LVGA untuk membayar perkhidmatan awam. Individu dan syarikat akan dapat membayar 100% cukai tahunan mereka serta semua perkhidmatan bandar awam yang lain dengan menggunakan mata wang kripto tersebut.
Francais makanan segera multinasional McDonald’s di bandar itu ialah antara kedai yang menyokong polisi kerajaan tempatan itu dan pelanggan mereka sudah dapat membayar dengan mana-mana satu mata wang kripto itu. Tambahan pula, mereka yang membayar dengan Bitcoin, USDT atau LVGA boleh menerima pulangan tunai 10% dalam LVGA! Di Lugano, hidup menggunakan kripto sudah menjadi kenyataan!

USDT dan LVGA merupakan sejenis mata wang kripto yang diklasifikasikan sebagai stablecoin atau mata wang kripto stabil. Manakala nilai USDT ditetapkan kepada nilai dolar AS, nilai LVGA sebaliknya ditetapkan kepada nilai Swiss Franc dan dijamin oleh bandar itu. LVGA ialah stablecoin yang dikeluarkan oleh bandar Lugano.
Penghuni bandar Swiss itu boleh membeli LVGA melalui aplikasi MyLugano. Berbeza dengan mata wang kripto lain seperti Bitcoin, LVGA hanya boleh digunakan di Lugano dan setelah diperoleh ia tidak boleh ditukar atau didagangkan untuk mata wang lain. LVGA tidak tertakluk kepada turun naik kerana nilainya ditetapkan kepada Franc Swiss. Oleh itu, mata wang kripto stabil ini tidak mempunyai niat spekulatif tetapi wujud semata-mata dan secara eksklusif sebagai satu bentuk insentif untuk perbelanjaan tempatan di Lugano.
Soalan kami kepada McDonald’s Malaysia: Mengapakah tidak mula menerima mata wang kripto sebagai pembayaran hari ini dan mengembangkan perniagaan anda? Ramai pemegang kripto di Malaysia sudah bersedia untuk membelanjakan kripto mereka di kedai anda.