Kasikorn Bank, bank yang terbesar di Thailand percaya pasaran mata wang kripto mempunyai masa depan yang cerah, membuat pelaburan besar-besaran dalam syarikat kripto tempatan.

Kasikorn Bank, bank yang terbesar di Thailand mengikut ranking Global 2000 Forbes bertarikh 8 Jun 2023, telah memperoleh 97% pegangan dalam Satang Corporation, syarikat induk pertukaran mata wang kripto Satang, dengan harga $102.8 juta. Global 2000 menyampaikan ranking syarikat-syarikat yang terbesar di dunia berdasarkan empat metrik: jualan, keuntungan, aset dan nilai pasaran.

Untuk membantu anda memahami betapa besarnya bank itu, mengikut ranking Forbes tersebut, bank itu adalah lebih besar daripada RHB Bank negara kita dan AirAsia X.

Tangkapan skrin yang menunjukkan bank Kasikorn di kedudukan 849 dalam senarai Global 2000 Forbes.

Tangkapan skrin yang menunjukkan kedudukan entiti perniagaan negara kita dalam senarai Global 2000 Forbes.

Satang (Satang Corporation Company Limited) diasaskan pada bulan Mac tahun 2017 dan menawarkan perdagangan mata wang kripto melalui produk mereka yang dipanggil Satang Pro. Pengguna platform pertukaran mata wang kripto itu boleh membeli dan menjual mata wang kripto dengan menggunakan wang sah negara itu, Thai Baht.

Menurut laman web rasmi syarikat kripto itu, pengasas syarikat itu sebelum ini melancarkan mata wang kripto memfokuskan privasi yang dikenali sebagai Zcoin.

Nota editor KH: Kami tidak mengenali Zcoin dan sejarah mata wang kripto ini.

Sebenarnya, bank itu sudah menjejaki dunia mata wang kripto sejak tahun 2021. Menurut Bangkok Post, kata Encik Ruangroj Poonpol, pengerusi Kumpulan Teknologi Perniagaan Kasikorn (KBTG), cabang teknologi Bank Kasikorn, mereka telah menubuhkan anak syarikat yang bernama Kubix untuk beroperasi sebagai portal tawaran syiling permulaan (Initial Coin Offering, ICO). Kenyataan yang sama turut didapati dalam laman web Kubix.

Menurut Thailand Business News dan mengikut pemahaman kami, Satang akan dijenamakan semula menjadi syarikat yang bernama Orbix Trade.

Syarikat yang baharu ini bukan sahaja akan menyediakan pertukaran mata wang kripto tetapi juga akan menubuhkan anak syarikat yang menawarkan perkhidmatan kustodian, pengurusan dana aset digital, dan pembangunan teknologi blok rantai.

Langkah strategik bank gergasi ini berikutan pelancaran dana $100 juta yang akan digunakan untuk melabur dalam teknologi web3, teknologi kewangan (fintech) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), meletakkan mereka sebagai pemain utama dalam landskap aset digital yang berkembang di negara Siam itu.

Bank itu telah menubuhkan anak syarikat yang dipanggil Unita Capital yang didedikasikan untuk pelaburan dalam syarikat aset digital.

Akhir sekali, menurut laporan agensi berita itu, Bank Kasikorn berhasrat untuk menguasai 20% pasaran mata wang kripto di Thailand menjelang tahun 2024.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?