Menurut laporan eksklusif CNBC, Zodia Custody, firma sekuriti yang dimiliki bersama oleh Standard Chartered, Northern Trust, dan SBI Holdings, melancarkan perkhidmatan di Hong Kong. Firma sekuriti yang berdaftar di UK, Ireland, dan Luxembourg itu menyediakan penjagaan aset digital kepada institusi, syarikat dan pelabur profesional.
Untuk pengetahuan anda, Northern Trust ialah sebuah syarikat penasihat kewangan Amerika yang beribu pejabat di Chicago manakala SBI Holdings ialah konglomerat perkhidmatan kewangan terkemuka yang berpangkalan di Jepun.
Pada April lalu, Zodia berjaya memperoleh dana sejumlah AS$36 juta (kira-kira RM 170 juta) melalui pembiayaan Siri A (Series A Funding). Sebenarnya, baru-baru ini, Zodia turut melancarkan perkhidmatan di negara jiran kita, Singapura pada September yang lalu. Zodia berkata ia berhasrat berkembang ke seluruh Asia Pasifik untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada institusi terhadap penjagaan gred bank untuk aset digital, serta permintaan daripada pelanggan mereka yang sedia ada di rantau ini.
Selain itu, pada 28 September yang lalu, Bitfinex, salah satu platform dagangan aset digital yang terkemuka, telah mengumumkan integrasi strategik dengan Zodia Custody melalui penyelesaian “luar-pertukaran” (off-exchange) Zodia yang dikenali sebagai Interchange.
Integrasi itu akan membolehkan pelanggan Zodia Custody berdagang di Bitfinex sementara aset mereka kekal di bawah amanah Interchange.
Dengan wujudnya integrasi itu, pelanggan yang mempunyai akaun dengan kedua-dua Zodia Custody dan Bitfinex akan mempunyai keupayaan untuk memaparkan (to mirror) aset mereka yang berada di bawah jagaan Zodia pada akaun mereka di Bitfinex untuk tujuan dagangan.
Sebagai contoh, apabila pelanggan Zodia ingin berdagang aset A melalui Bitfinex, Zodia akan mengunci aset A dan memaklumkan keinginan pelanggan itu kepada Bitfinex. Berikutan proses kelulusan, Bitfinex akan memaparkan aset A dalam akaun pelanggan itu supaya pelanggan itu boleh menggunakan aset A untuk berdagang. Pada hakikatnya, aset itu masih berada di bawah jagaan Zodia melalui perkhidmatan Interchange mereka. Pendek kata, Interchange boleh dikatakan berfungsi sebagai akaun eskrow (escrow).
Akaun eskrow membantu menyediakan keselamatan dan kepercayaan dalam transaksi dengan memastikan kesemua pihak yang terlibat dalam transaksi itu memenuhi kewajipan mereka sebelum dana atau aset dipindahkan. Bayangkan anda ingin menjual kereta anda. Pembeli itu akan membayar hanya selepas kereta itu ditukar di bawah namanya. Dia takut kamu akan melarikan diri dengan duitnya. Pada masa yang sama, kamu juga takut pembeli itu akan melarikan diri dengan kereta kamu. Alangkah baiknya kalau urus niaga itu boleh melibatkan pihak ketiga yang bertindak sebagai penjaga duit dan kereta? Pihak ini dikenali sebagai eskrow.