Menurut kenyataan akhbar Jabatan Kehakiman AS semalam yang bertarikh 21 November 2023, Binance dan Ketua Pegawai Eksekutif mengaku bersalah atas tuduhan terhadap mereka dan bersetuju untuk membayar AS$ 4,316,126,163 (kira-kira RM 20 bilion) sebagai denda.
Pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Binance, Changpeng Zhao, seorang warganegara Kanada mengaku bersalah kerana gagal mengekalkan program anti-pengubahan wang haram (Anti Money Laundering, AML) yang berkesan dan telah melanggar Akta Rahsia Bank (Bank Secrecy Act, BSA) negara Patung Liberty itu. Berikutan itu, beliau telah meletakkan jawatan sebagai CEO Binance.
Dapat kita perhatikan bahawa kes Binance ini dikendalikan dengan nada yang amat berbeza berbanding dengan kes FTX. Untuk FTX, bekas CEO Sam-Bankman Fried (SBF) disabitkan kesalahan sebagai penjenayah kewangan yang memanipulasikan pelabur manakala dalam kes Binance ini, CZ dituduh mengutamakan pertumbuhan platform mereka daripada pematuhan.
Menurut kenyatakan akhbar tersebut, bekas CEO itu secara sedar mengendalikan platform kewangan tanpa berusaha untuk mencegah pengubahan wang haram. Syarikat itu dikatakan membenarkan transaksi haram dilakukan antara pengguna-pengguna AS dan pengguna-pengguna yang berasal dari bidang kuasa yang disekat oleh AS seperti Iran, Cuba, Syria dan wilayah di dalam Ukraine yang diduduki Rusia. Urus niaga tersebut membolehkan Binance memperoleh keuntungan yang lumayan.
CZ turut mengumumkan perletakan jawatan beliau melalui akaun platform X beliau (sebelum ini dikenali sebagai Twitter). Menurut beliau, keputusan itu merupakan keputusan yang sesuai dan terbaik untuk komuniti kripto, Binance, dan beliau diri sendiri.
Binance mempunyai CEO yang baru, Richard Teng, yang sebelum ini pernah memegang jawatan yang amat penting sebagai Ketua Pegawai Kawal Selia (Chief Regulatory Officer) untuk Bursa Singapura (Singapore, Exchange, SGX). Selain itu, beliau juga merupakan bekas Pengarah Kewangan Korporat untuk Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore, MAS).
Akuan bersalah (plea) Binance ini ialah sebahagian daripada resolusi yang diselaraskan antara tiga agensi kerajaan AS, iaitu Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Jabatan Perbendaharaan (Department of the Treasury’s Financial Crimes Enforcement Network, FinCEN), Pejabat Kawalan Aset Asing (Office of Foreign Assets Control, OFAC) dan Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (U.S. Commodity Futures Trading Commission, CFTC).
Menariknya, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (Securities and Exchange Commission) negara itu nampaknya tidak terlibat. Sesetengah ahli komuniti kripto berpendapat ini adalah kerana agensi kerajaan yang diketuai oleh musuh komuniti kripto, Gary Gensler itu mungkin tidak dijemput untuk mengambil bahagian dalam operasi itu.
Kata Timbalan Peguam Negara itu, Lisa O. Monaco: “Kes saman dan akuan bersalah, berserta penalti kewangan berjumlah lebih daripada AS $4 bilion hari ini menghantar mesej yang jelas kepada syarikat-syarikat kripto dan DeFi bahawa jika anda menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan AS, maka anda mestilah mematuhi undang-undang AS.”
Untuk pelabur runcit kripto, khususnya mereka yang menyokong Binance and menyanjung tinggi CZ, berita ini sesungguhnya berita yang bukan sahaja mengejutkan tetapi cukup merisaukan. Adakah ini satu petunjuk untuk mereka mengambil keluar aset mereka yang berada di bawah jagaan pertukaran mata wang kripto tersebut? Bolehkah Binance berterus untuk beroperasi seperti dahulu tanpa pimpinan tokoh mereka sekarang?
Walau bagaimanapun, ada juga mereka yang optimis dan bertanggapan bahawa peristiwa ini walaupun nampak merunsingkan tetapi pada masa yang sama, ia mungkin membuka babak yang baru dalam dunia mata wang kripto. Sebagai contoh, ada juga pelabur kripto yang berpandangan akuan bersalah CZ dan Binance ini mungkin bakal membuka jalan untuk kelulusan spot Bitcoin ETF (Exchange Traded Fund) di negara itu.
Wahai sahabat kripto! Walaupun kami tidak pasti tentang pendirian anda sekarang terhadap mata wang kripto selepas kesemua ini, yang boleh kami pasti, akan kami terus berjuang bersama kripto demi inovatif dan kebebasan kewangan untuk kita semua. Harap-haraplah kita akan bersama-sama menyaksikan detik bersejarah apabila mata wang kripto diterima pakai bukan sahaja di negara kita, tetapi di seluruh dunia.