Jangan ragu. Walaupun bitcoin belum lagi diterima oleh Bank Negara kita sebagai wang sah (legal tender), ini biasanya tidak menghalang pihak-pihak yang optimis terhadap masa depan mata wang kripto itu daripada menerimanya sebagai alternatif kepada Ringgit.
Bitcoin, mata wang kripto yang dicipta oleh figura misteri, Satoshi Nakamoto, dipersembahkan sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada Online Banking dan Wallet dalam sistem pembayaran SSM. Suruhanjaya Syarikat Malaysia, agensi pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan di negara kita ini nampaknya berada di barisan hadapan penerimaan kripto sebagai medium pertukaran.
Sila rujuk tangkapan skrin di bawah yang diambil pada 19 Februari 2024. Pada hakikatnya, kami sedar bahawa bitcoin sudah ditawarkan sebagai pilihan dalam sistem pembayaran SSM sekurang-kurangnya sejak tahun 2023 atau lebih awal.
Walau bagaimanapun, apabila kami mencuba membuat pembayaran dengan memilih Bitcoin, tiada apa-apa yang berlaku. Keadaan ini mungkin boleh disebabkan oleh sebab-sebab seperti pilihan Bitcoin telah diaktifkan secara tidak sengaja oleh penyedia pembayaran (payment gateway/provider) SSM atau tetapan pembayaran yang salah atau belum lengkap.

Penggunaan bitcoin sebagai medium pembayaran masih merupakan topik yang hangat dipertikaikan, khususnya kerana nilai bitcoin turn naik dan tidak menentu. Walau bagaimanapun, mata wang kripto ini telah pun diiktiraf sebagai wang sah di negara El Salvador dan juga Lugano, sebuah bandar di Switzerland. Ini membuktikan bahawa meskipun nilai bitcoin turun naik, masih terdapat aspek lain tentang bitcoin yang boleh menjadikannya medium pertukaran yang cukup diingini oleh komuniti kripto, seperti bekalan maksimum yang terhad, komuniti yang tidak bersedia untuk menyerah kalah dan juga potensi yang masih belum diterokai di sebalik inovasi itu.
Yang boleh kita pasti, sekiranya SSM sememangnya berhasrat untuk menerima bitcoin sebagai pembayaran dalam masa terdekat, langkah ini boleh dikatakan cukup strategik yang bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap kebergunaan bitcoin, malah satu petunjuk yang membuktikan bahawa agensi kerajaan kita ini sesungguhnya bersedia untuk menyesuaikan pendekatan mereka untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan mereka tanpa prejudis. Dalam kes ini, kudos kepada SSM!