Hari ini, kita hanya tinggal 45 hari lagi dari bitcoin halving. Ramai pelabur teruja dengan bitcoin halving kerana berpandangan harga bitcoin biasanya akan meningkat selepas halving. Soalannya, adakah anda tahu apakah yang dimaksudkan dengan istilah bitcoin halving ini?
Kebergantungan Harga Bitcoin Pada Halving (Sumber: Cryptorank.io)
Untuk memahami apakah itu Bitcoin halving, harus kita fahami apakah itu blockchain, iaitu blok rantai terlebih dahulu. Secara ringkasnya, blok rantai ialah rantaian transaksi mata wang kripto yang disimpan dalam struktur data yang dipanggil blok.
Setiap komputer yang mengambil bahagian dalam rangkaian akan menyimpan satu salinan blok rantai yang dikemas kini dari semasa ke semasa. Semua transaksi baru akan ditambahkan ke dalam blok rantai melalui blok yang baru dicipta.
Proses pembentukan blok baru ini dikenali sebagai perlombongan. Perlombongan, dalam konteks rangkaian Bitcoin, juga ialah proses yang mencipta atau memasukkan bitcoin baru ke dalam peredaran. Pelombong yang berjaya melombong blok baru berhak untuk menerima mata wang bitcoin sebagai ganjaran. Setiap empat tahun, ganjaran ini akan dikurangkan separuh. Peristiwa ini dipanggil “halving.”
Mekanisme ini direka untuk mengawal pengeluaran bitcoin baharu, mengehadkan bekalan dan mengekalkan kekurangan (scarcity) dan nilai bitcoin dari semasa ke semasa.
Berapa banyak Bitcoin halving telah berlaku sebelum ini?
Halving pertama: 28 November 2012; ganjaran blok telah dikurangkan daripada 50 BTC setiap blok kepada 25 BTC setiap blok.
Halving kedua: 9 Julai 2016; ganjaran blok telah dikurangkan daripada 25 BTC setiap blok kepada 12.5 BTC setiap blok.
Halving ketiga: 11 Mei 2020; ganjaran blok telah dikurangkan daripada 12.5 BTC setiap blok kepada 6.25 BTC setiap blok.
Bitcoin halving yang seterusnya (keempat) dijangka berlaku pada April 2024, apabila nombor ketinggian blok (block height) mencecah 840,000. Selepas itu, ganjaran blok yang seterusnya akan dibahagi separuh, menjadi 3.125 BTC dan bukannya 6.25 BTC.
Harus kita ingati bahawa Bitcoin halving boleh mengakibatkan harga bitcoin turn naik kerana peristiwa ini mewujudkan sentimen ketidakpastian di kalangan pelabur.