Pada 4 Mac 2024, MicroStrategy (Nasdaq: MSTR), pemegang korporat bitcoin (BTC) yang terbesar di dunia, mengumumkan bahawa syarikat itu berhasrat untuk menawarkan nota boleh tukar senior (senior convertible notes) yang berjumlah AS$600 juta (amaun prinsipal agregat) kepada pelabur-pelabur yang layak. Mereka juga berhasrat menggunakan hasil bersih yang diperoleh daripada penjualan tersebut untuk membeli lebih banyak bitcoin dan juga untuk tujuan am korporat. Nota ini akan matang pada 15 Mac 2030
Untuk pengetahuan anda, nota pinjaman boleh tukar atau nota boleh tukar (convertible notes) ialah nota pinjaman (iaitu hutang) yang boleh ditukarkan kepada saham biasa mengikut harga dan nisbah penukaran yang telah ditetapkan. Dalam kes MicroStrategy ini, nota pinjaman boleh tukar yang ditawarkan ialah senior convertible notes, iaitu sejenis nota yang diberikan keutamaan berbanding dengan semua sekuriti hutang lain yang dikeluarkan oleh organisasi yang sama, contohnya dalam kes organisasi itu muflis atau dibubarkan.
Pengasas bersama dan pengerusi eksekutif MicroStrategy, yang merupakan selebriti di kalangan komuniti mata wang kripto, khususnya penyokong bitcoin, turut mengumumkan tawaran persendirian (private offering) itu melalui akaun sosial X beliau. Mengikut Bitcoin Treasuries, setakat 26 Februari 2024, MicroStrategy memiliki 193,000 bitcoin dan mengikut laman web itu, MicroStrategy menyatakan harga purata setiap bitcoin dalam pegangan mereka adalah AS$31,554.00 dengan jumlah kos AS$6.09 bilion.