Pernahkah anda tertanya-tanya sama ada Ringgit akan mempunyai kembar digital yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)? Menurut Pelan Sektor Kewangan 2022-2026, BNM tidak merancang untuk mengeluarkan mata wang digital bank pusat (Central Bank Digital Currency, CBDC) pada masa terdekat. Walau bagaimanapun, BNM tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkan CBDC. Pada hakikatnya, bank pusat kita ini sedang dalam proses mengkaji potensi dan implikasi CBDC dan berusaha meningkatkan pemahaman dan keupayaan kakitangan bank tentang CBDC.
Sistem kewangan yang sedia ada terus menyokong fungsi ekonomi, manakala alat dasar monetari dan kewangan sedia ada masih berkesan bagi melindungi kestabilan monetari dan kewangan. Selain itu, sistem pembayaran domestik, termasuk RPP, terus beroperasi dengan selamat dan cekap untuk menyokong keperluan individu dan perniagaan di samping memudahkan peralihan kepada pembayaran secara digital.
BNM telah mengambil bahagian dalam Projek Dunbar (2021-2022) dengan matlamat membangunkan prototaip platform yang dikongsi bersama bagi membolehkan penyelesaian antarabangsa dengan menggunakan pelbagai CBDC. Projek Dubar merupakan inisiatif pembuktian konsep (Proof of Concept, POC) yang diketuai oleh Bank for International Settlements Innovation Hub yang turut melibatkan Reserve Bank of Australia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank.
Projek Dunbar dibahagikan kepada tiga fasa yang berikut:
Fasa 1 (CBDC Borong Rentas Sempadan): BNM berpendapat CBDC berpotensi menangani kesukaran yang telah wujud sejak sekian lama dalam proses pengaturan pembayaran rentas sempadan (antarabangsa). Sebagai contoh, transaksi mengambil tempoh yang lama untuk diselesaikan, melibatkan kos yang tinggi, mempunyai akses yang terhad dan kurang ketelusan. Fasa ini menguji penggunaan CBDC borong bagi penyelesaian antarabangsa melalui platform bersama, dengan matlamat mengurangkan bilangan pengantara (intermediaries) dan keperluan terhadap pendanaan pendahuluan (pre-fund) bagi membiayai akaun perbankan koresponden berbilang (multiple correspondent banking accounts). Dengan ini, sekali gus menjadikan pembayaran rentas sempadan menjadi lebih cepat dan lebih murah.
Fasa 2 (CBDC Borong Domestik): Memberikan peluang kepada BNM untuk mengkaji semula dan memperteguh sistem pembayaran borong domestik yang sedia ada, iaitu RENTAS, untuk persediaan masa hadapan. Menurut BNM, meskipun RENTAS telah beroperasi pada tahap ketersediaan, kecekapan dan daya tahan yang tinggi, penggunaan CBDC borong dan Teknologi Lejar Teragih (Distributed Ledger Technology, DLT) berpotensi untuk meningkatkan sistem pembayaran borong domestik ke tahap yang lebih tinggi.
Fasa 3 (CBDC Runcit Domestik): Sistem pembayaran runcit di negara kita dikenali sebagai RRP (Real-time Retail Payments) atau Pembayaran Runcit Masa Nyata. Dari sudut pandangan BNM, CBDC runcit boleh dikendalikan sebagai pelengkap kepada RPP dan berperanan sebagai pemangkin untuk mendorong inovasi yang lebih besar dalam sektor kewangan.
Dokumen BNM itu turut menyatakan bahawa BNM yakin mata wang digital akan terus membentuk landskap infrastruktur pembayaran. Meskipun jangkauan dan magnitud kesan mata wang digital masih belum kelihatan (pada pendapat BNM), usaha kajian awal adalah penting bagi memastikan sektor kewangan negara kita dapat menyesuaikan diri dengan berkesan.