Kita menemui analisis yang amat menarik daripada Rekt Capital di platform sosial X mengenai 4 fasa bitcoin halving. Nampaknya kita sudah berada di fasa 2 sekarang.

Harga bitcoin akan turun sekali lagi untuk meyakinkan anda bahawa pasaran bull sudah tamat. Selepas itu, harga mata wang kripto itu akan naik semula, mengikut “ramalan” pengguna dengan nama Rekt Capital yang mempunyai 420.7k pengikut di platform sosial X (sebelum ini Twitter).

Penganalisis parasaran kripto itu berpendapat bitcoin halving boleh dibahagikan kepada 4 fasa. Fasa pertama, rali pra-halving. Fasa kedua, penurunan harga apabila menghampiri halving. Fasa ketiga, pengumpulan (accumulation) yang akan mengambil masa beberapa bulan. Fasa keempat, harga bitcoin akan naik secara parabola.

Fasa pertama: Rali pra-halving

Kira-kira 60 hari sebelum halving, rali pra-halving cenderung berlaku. Harga bitcoin akan meningkat, dan dalam kes rali pra-halving kali ini, bitcoin berjaya mencapai rekod harga tertinggi yang baru.

Rekt Capital mengatakan bahawa fenomena ini disebabkan pelabur “membeli desas-desus” dengan harapan untuk “menjual berita” kemudian, iaitu “buy the hype, sell the news”.

Sebenarnya “pepatah” yang lebih popular dalam kalangan pelabur kripto ialah “buy the rumour, sell the news” yang membawa maksud yang sama.

Apabila terdapat spekulasi atau jangkaan positif tentang pengumuman akan datang (khabar angin), pelabur akan membeli aset terlibat (saham, mata wang kripto, dll.) dengan menjangkakan harga naik. Sebaik sahaja berita sebenar dikeluarkan (dengan mengandaikan ia memenuhi jangkaan), mereka menjual aset itu untuk merealisasikan keuntungan. Pendek kata, strategi ini merupakan pendekatan yang seringkali digunakan oleh pelabur yang mengambil kesempatan daripada sentimen optimis pasaran terhadap khabar angin untuk meraih keuntungan.

Strategi ini, serta faktor-faktor lain seperti kelulusan ETF bitcoin baru-baru ini semunya dikatakan menyumbang kepada rali pra-halving kebelakangan ini.

Dari sudut teknikal, rali ini mungkin akan diikuti oleh penurunan harga yang turut akan berlaku sebelum halving.

Fasa kedua: Penurunan harga ke tahap awal (retrace) pra-halving

Fasa kedua halving ini akan menyaksikan penurunan harga bitcoin selepas rali dan cenderung berlaku beberapa minggu sebelum halving. Sebagai contoh, harga bitcoin menurun sebanyak 38% dan 20% sebelum halving yang berlaku pada tahun 2016 dan 2020 masing-masing. Jejak semula harga pra-halving ini boleh berlangsung selama beberapa minggu dan sehingga 77 hari.

Berita baiknya, tahun ini, harga bitcoin sudah mengalami susutan sebanyak 18% pada bulan Januari dan 14% pada awal bulan Mac ini. Oleh itu, penurunan harga pada fasa kedua pra-halving untuk tahun ini, sekiranya berlaku, mungkin kurang ketara. Fasa ini menyerupai pembetulan (correction) harga yang membawa harga bitcoin ke tahap yang lebih “sihat”, iaitu nilai semasa yang lebih saksama. Tambahan pula, fasa ini mungkin mengambil masa yang lebih singkat untuk lengkap sebelum beralih ke fasa yang seterusnya, fasa pengumpulan semula.

Fasa ketiga: Pengumpulan semula (re-accumulation)

Ramai pelabur menjadi putus asa pada fasa ini kerana kebosanan, ketidaksabaran, dan kekecewaan terhadap keberhasilan pelaburan bitcoin mereka sejurus selepas halving.

Fasa ini boleh bertahan sehingga 150 hari (atau sekitar 5 bulan).

Walaupun harga bitcoin dijangka akan bergerak secara mendatar, adalah mungkin juga bagi kita untuk menyaksikan rekod harga Bitcoin yang baru semasa fasa ini.

Fasa keempat: Kenaikan harga secara parabola

Sebaik sahaja bitcoin berlepas dari fasa pengumpulan semula, ia akan menunjukkan trend kenaikan harga. Dalam fasa ini, bitcoin akan mengalami pertumbuhan yang dipercepatkan dan dalam bentuk parabola.

Dari sudut pandangan sejarah, fasa ini biasanya lengkap dalam masa kira-kira setahun  (~385 hari). Walau bagaimanapun, tempoh ini mungkin dipengaruhi oleh situasi pasaran semasa dan boleh dipotong kepada separuh dalam kitaran pasaran yang baru.

Harus diingati bahawa artikel ini disediakan berdasarkan analisis yang dikongsi oleh pihak ketiga yang menuntut sebagai penganalisis kripto. Artikel asal tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris. Kami mungkin gagal mentafsir dan menterjemah analisisnya dengan betul. Anda dinasihatkan untuk membaca artikel asal. Artikel ini tidak harus dikendalikan sebagai nasihat pelaburan atau kewangan. Pengarang artikel ini dan artikel asal mungkin memiliki bitcoin dan mempunyai kepenting peribadi yang boleh dikaitkan dengan artikel berkenaan. Harap maklum.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?