Indonesia sasar pertumbuhan transaksi kripto untuk tahun 2024. Di Indonesia, mata wang kripto boleh digunakan sebagai aset tetapi dilarang sebagai medium pertukaran.

Menurut Bisnis.com, Badan Pengawas Perdagangan Berjangka Komoditi (Bappebti) Indonesia menyasarkan pertumbuhan transaksi kripto pada tahun 2024 akan meningkat sekurang-kurangnya ke tahap yang sama seperti pada tahun 2021, iaitu Rp (Rupiah) 859.4 trilion, atau kira-kira RM 258.6 juta.

“Transaksi kripto adalah seperti keluk U, transaksi pada 2022 dan 2023 telah jatuh, jadi ia seharusnya boleh meningkat pada 2024,” kata Tirta Karma Senjaya, ketua Biro Pembinaan dan Pengembangan Perdagangan Berjangka Komoditi Bappebti. Pendek kata, mengikut pendapat ketua biro tersebut, memandangkan trend transaksi kripto telah mengalami penurunan pada tahun 2022 dan 2023, ia dijangka akan meningkat semula pada tahun 2024.

Berdasarkan data agensi Indonesia itu, negara itu mempunyai 18.51 juta pelabur aset kripto pada tahun 2023. Jumlah ini telah meningkat sebanyak 9.8% sejak awal tahun ini. Transaksi aset kripto juga mencecah Rp 149.25 trilion (kira-kira RM 44.9 juta). Walaupun volum transaksi ini adalah kurang berbanding dengan volum tahun sebelumnya, industri ini masih menunjukkan potensi ekonomi yang kukuh.

Sehingga kini, terdapat 501 aset kripto didaftarkan secara rasmi di negara itu, dan 33 Calon Pedagang Fisik Aset Kripto (CPFAK) (dalam BM, Calon Pedagang Aset Kripto Fizikal) yang berdaftar dan dikawal selia. Mengikut pemahaman kami, Pedagang Aset Kripto Fizikal ini hampir sama dengan versi Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (Recognized Market Operator, RMO) untuk aset digital di negara kita.

Langkah itu merupakan komitmen kerajaan Indonesia untuk mewujudkan persekitaran perdagangan yang selamat, adil dan menggalakkan inovasi ekonomi. Tambahan pula, memandangkan negara-negara di Asia Tengah bersaing secara agresif untuk menjadi pusat pembangunan teknologi kripto, negara jiran kita ini jelasnya tidak mahu ketinggalan.

Walau bagaimanapun, mata wang asing dan mata wang kripto dilarang digunakan sebagai medium pembayaran oleh undang-undang Indonesia. Menurut laporan kompas.id, Trisno, ketua pejabat perwakilan untuk Bank Indonesia (BI) di Bali menegaskan satu-satunya instrumen pembayaran yang sah di Bali ialah Rupiah Indonesia.

Katanya, “Bali menjadi penanda aras bagi Indonesia. Dengan jumlah pelancong asing yang ramai, Bali perlu dilindungi. Kita menghargai Rupiah sebagai mata wang kita. Kita juga tidak dibenarkan menggunakan Rupiah apabila kita melawat ke luar negara. Oleh itu, kita mesti membanteras penggunaan mata wang selain Rupiah sebagai alat pembayaran,”

“Mata wang kripto tidak dimaksudkan untuk digunakan sebagai medium pertukaran. Bank Indonesia telah pun mengharamkannya. Bagaimanapun, mata wang kripto boleh digunakan sebagai aset. Ia boleh ditukar kepada Rupiah Indonesia,”

Wakil Bank Indonesia itu juga memberi amaran kepada warga asing supaya tidak menggunakan mata wang selain Rupiah sebagai alat pembayaran di Bali kerana ia adalah salah di sisi undang-undang.

Sokongan

Mengapa tidak membeli secawan kopi untuk pengarang ini?

Related articles

Fetch.ai, SingularityNET, dan Ocean Protocol berpadu tenaga membentuk persekutuan intelek AI dengan jenama The Superintelligence Alliance, mencadangkan satu token universal untuk ketiga-tiga projek. $ASI

Coinbase Derivatives: Membuka pintu ke arah niaga hadapan berleveraj untuk Dogecoin, Litecoin, dan Bitcoin Cash!

KuCoin dan pengasasnya dilabelkan dengan pelbagai dakwaan – dari kesalahan jenayah hingga operasi tanpa lesen. Apakah yang membelenggu platform dagangan kripto popular ini?