Menurut berita FXStreet yang bertarikh 20 Jun 2023, Deutsche Bank AG, bank terbesar di Jerman memaklumkan kepada agensi berita itu bahawa mereka telah memfailkan permohohan kepada pengawal selia kewangan negara itu, BaFin untuk menawarkan perkhidmatan sebagai pemegang amanah aset kripto (crypto custody).
Jika kita mengambil kira tindakan keras pengawal selia di Amerika Syarikat terhadap industri mata wang kripto kebelakangan ini, sesungguhnya keputusan institusi kewangan Jerman itu boleh disifatkan satu pertaruhan yang cukup strategik.
Menurut Bloomberg, ketua unit peminjam perbankan komersial bank tersebut, David Lynne menjelaskan bahawa keputusan itu merupakan sebahagian usaha korporat itu untuk meningkatkan pendapatan berpunca daripada yuran dan juga untuk mempelbagaikan tawaran perkhidmatan kepada pelanggan mereka.

Ketua pegawai eksekutif Deutsche Bank, Christian Sewing. Sumber foto: db.com
Pada April 2023, syarikat pengurusan aset terbesar di Eropah, DWS mengumumkan pelan mereka untuk membangunkan Produk Dagangan Bursa (exchange-traded products, ETP) yang berasaskan aset digital di rantau itu. Di samping itu, DWS sedang mengadakan rundingan untuk memperoleh pegangan minoriti dalam dua syarikat kripto – Deutsche Digital Assets, penyedia produk dagangan bursa (ETP), dan firma perdagangan aset digital, Tradias.
Yang menarik, menurut Seeking Alpha, Deutsche Bank memiliki 79.49% saham DWS.
Adakah ini mungkin satu petunjuk yang boleh dikaitkan dengan tahap minat bank tersebut terhadap industri mata wang kripto?