University of Technology Sarawak (UTS) yang ditubuhkan pada tahun 2013 merupakan salah satu universiti yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. Terletak di bandar Sibu, universiti yang berfikiran jauh ke hadapan ini sesungguhnya satu pencapaian yang selaras dengan visi dan komitmen Sarawak dalam mewujudkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia untuk menerajui pembangunan dan pengeluaran sumber manusia teknikal di bawah wawasan Sarawak Corridor of Renewable Energy, SCORE.
Mata wang kripto dan teknologi blok rantai merupakan antara perkembangan yang paling menarik dalam kewangan moden. Dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini, adalah penting bagi pelajar universiti, khususnya mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin perniagaan untuk memahami produk kewangan yang bakal mengubah cara hidup kita ini. Dalam artikel ini, kami akan mempersembahkan kepada anda beberapa statistik yang menarik berdasarkan maklum balas para peserta ceramah yang disampaikan oleh C4 Certified Bitcoin Professional itu, termasuk persepsi dan sentimen golongan pemuda ini terhadap mata wang kripto, harapan mereka terhadap teknologi blok rantai dan banyak lagi.
Pusat Pengajian Perniagaan & Pengurusan (School of Business & Management) UTS, yang berada di bawah pimpinan Profesor Madya Dr. Winnie Wong, selaku dekan, telah menganjurkan sebuah ceramah pendidikan mengenai asas mata wang kripto, peraturan, risiko dan penipuan kepada pelajar-pelajar beliau pada 26 Mei 2023.
Ceramah pendidikan itu bertujuan untuk menyampaikan ilmu yang bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehgajian (employability) graduan tetapi juga dapat melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi landskap kewangan yang berubah-ubah.
Ceramah itu berjaya dikendalikan di bawah bimbingan Puan. Lim Wee Cheng, selaku Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan fasilitator untuk ceramah itu. Sejumlah 19 orang pelajar yang berumur antara 20-24 telah mengambil bahagian dalam ceramah itu dan kebanyakan mereka merupakan pelajar untuk program Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian). Antaranya, 5 ialah pelajar lelaki dan 14 perempuan.

Dari segi sentimen, majoriti pelajar (84%) berpendapat ceramah pendidikan itu mungkin boleh memberi manfaat kepada mereka sama ada kerana mereka percaya mata wang kripto akan menjadi arus perdana (mainstream) suatu hari nanti dan mereka takut ketinggalan (fear) (42%) atau mereka tidak pasti mengenai masa depan mata wang kripto (doubt and uncertainty) (42%) tetapi berpendapat bahawa adalah berfaedah untuk mempelajari sesuatu yang baru.
Menariknya, sentimen ketakutan, ketidakpastian, dan keraguan (Fear, Uncertainty, Doubt, FUD) juga merupakan sentimen yang lazimnya mendorong pasaran mata wang kripto turun naik (volatile).
Sebilangan kecil (16%) daripada mereka menunjukkan minat untuk bekerja untuk syarikat yang menawarkan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan mata wang kripto selepas tamat pengajian. Ini seolah-olah mencadangkan mereka ini optimis terhadap masa depan mata wang kripto.
Dengan ini, dapat kita perhatikan bahawa 58% daripada golongan pelajar ini kemungkinan besar percaya bahawa mata wang kripto mempunyai masa depan yang menjanjikan.

Sebelum menghadiri ceramah itu, 16% daripada golongan pelajar ini tidak pernah mendengar tentang mata wang kripto. 37% daripada mereka walaupun tahu tentang mata wang kripto tetapi tidak berminat untuk memahami lebih lanjut. Pada masa yang sama, majoriti daripada mereka, iaitu 47% pernah mendengar tentang mata wang kripto dan selama ini berminat untuk menyelidik produk kewangan yang inovatif ini.

Dari segi kawal selia, sebelum menghadiri ceramah itu, 47% daripada pemimpin perniagaan masa depan ini sedar bahawa mata wang kripto boleh digunakan di negara kita dalam aktiviti-aktiviti yang sah di sisi undang-undang, manakala 42% daripada mereka bertangkapan bahawa mata wang kripto tidak dibenarkan langsung di negara kita.

Ceramah pendidikan yang berlansung selama kira-kira dua jam itu dibahagikan kepada tiga segmen, iaitu asas mata wang kripto, kawal selia mata wang kripto di Malaysia, dan risiko dan penipuan. Majoriti pelajar (47%) mendapati segmen tentang asas mata wang kripto amat berguna untuk mereka. Sebahagian besar daripada mereka (42%) pula lebih tertarik dengan aspek risiko dan penipuan. Yang selebihnya lebih berminat dengan isu-isu berkaitan dengan kawal selia dan peraturan mengenai mata wang kripto di negara kita.

Mata wang kripto ialah sejenis produk teknologi blok rantai (blockchain). Teknologi ini sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai jenis tujuan yang lain. Pelajar-pelajar perakaunan ini turut menyatakan harapan mereka terhadap sumbangan teknologi blok rantai kepada komuniti tempatan, khususnya dalam aspek-aspek berikut:
- Untuk menggalakkan ekonomi tempatan.
- Untuk meningkatkan kecekapan dalam proses perniagaan.
- Untuk membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.
- Untuk melindungi privasi peribadi secara umum, termasuk rekod kesihatan.
- Untuk mendorong keusahawanan tempatan yang mengeluarkan produk inovatif.
- Untuk meningkatkan keselamatan awam.
- Untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan.

Akhir sekali, 95% daripada pelajar-pelajar universiti ini akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil bahagian dalam projek-projek komuniti yang ditaja dan menggunakan teknologi blok rantai untuk mencapai matlamat projek berkenaan. Antaranya, sebanyak 42% sudah bersedia untuk menyertai projek-projek ini apabila ada peluang.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai ceramah ini atau untuk menganjurkan ceramah yang sama untuk institusi anda, anda digalakkan menghubungi support@gustolearn.com.
Sumber foto: Gustolearn.com.