Hong Kong berhasrat untuk berkembang menjadi pusat aset digital global. Namun, bank-bank di wilayah itu nampaknya belum bersedia untuk menerima pelanggan daripada industri mata wang kripto. Walaupun Hong Kong ialah antara pihak yang paling bertolak ansur terhadap mata wang kripto di dunia, pengawal selia kewangan wilayah itu berpendapat bahawa keadaan itu masih perlu dipertingkatkan.
Secara amnya, bank konvensional di wilayah itu masih enggan memberi sokongan kepada sektor mata wang kripto. Sebagai contoh, kebanyakan bank utama tidak mengizinkan firma aset digital membuka akaun dengan mereka.
Ini mungkin kerana bank-bank ini cuba mengelak daripada terlibat dalam aktiviti jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram (money laundering) yang seringkali dikaitkan dengan industri mata wang kripto.
Selain itu, faktor lain yang juga mungkin dipertimbangkan termasuk peristiwa negatif yang berkaitan dengan mata wang kripto, seperti kegagalan FTX untuk mengendalikan dana pelanggan dengan jujur. Sebelum ini, FTX ialah salah satu pertukaran mata wang kripto terbesar di dunia. Walau bagaimanapun, mereka didakwa menyalahgunakan dana pelanggan untuk kepentingan sendiri. Pada Disember 2022, Bankman-Fried (CEO FTX), Gary Wang dan Caroline Ellison, kesemuanya pihak yang memainkan peranan utama dalam kes FTX, telah disaman oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC). Agensi itu mendakwa bahawa mereka terlibat dalam “skim untuk menipu pelabur ekuiti FTX Trading Ltd.”.
Menurut Financial Times, bank HSBC and Standard Chartered sedang menghadapi tekanan daripada Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong (Hong Kong Monetary Authority, HKMA) mengenai hal itu.
Surat HKMA kepada bank menyatakan bahawa bank tidak harus “memperkenalkan beban yang tidak wajar” untuk Pembekal Perkhidmatan Aset Maya (Virtual Asset Service Provider, VASP), juga dikenali sebagai platform pertukaran mata wang kripto, yang berminat untuk meneroka peluang baharu di wilayah itu.
Pihak berkuasa itu juga menggesa Bank of China untuk menerima lebih banyak platform pertukaran mata wang kripto sebagai pelanggannya.
Setakat ini, ketiga-tiga bank utama itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang mata wang kripto. Jurucakap Standard Chartered menyatakan bahawa bank itu terus mengadakan “dialog tetap” dengan pengawal selia tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.